ABANG tiri Meghan Markle mahu anaknya dilarang menghadiri ke perkahwinan diraja adiknya itu. Tom Markle berkata, Thomas, 26, dan Tyler, 25, tidak pernah melihat Meghan sejak kedua-dua mereka masih kecil. Dan dia menuduh mereka mencuba untuk mendapatkan wang tunai di atas nama Markle. Dia turut menyebut tentang bekas isterinya, Tracy Dooley dengan berkata: "Mereka tidak seharusnya mendapat sebarang jemputan untuk majlis perkahwinan." Ketegangan dari Tom, 51, merupakan 'drama' terbaharu sehingga mencetuskan lagi insiden memalukan menjelang perkahwinan Meghan dengan Putera Harry, 33. Tom, yang mempunyai bapa yang sama dengan Meghan memberitahu Sunday Mirror: "Tracy dan saya berhenti menjalani kehidupan sebagai suami dan isteri kerana menganggap hubungan itu adalah satu bencana. Dia tidak pernah mahu memiliki nama Markle ketika kami berkahwin dan kini tiba-tiba dia seperti mahu menjadi sebahagian daripada keluarga. "Saya tidak mahu dia mempunyai apa-apa kaitan dengan kami dan anak-anak lelaki tidak sepatutnya diheret sama. Mereka tidak sepatutnya berada di majlis perkahwinan," katanya. Meghan, 36, dibesarkan bersama dengan Tom and kakaknya, Samantha, 52, di California, di mana ketika itu bapa mereka bertugas sebagai pengarah pencahayaan di Hollywood. Meghan dan Putera Harry bakal berkahwin di Istana Windsor, England pada 19 Mei depan. - Mirror