SEORANG wanita warga emas dari Jepun kini mengumpul lebih 41,000 pengikut di laman Instagram gara-gara gambarnya yang unik, kelakar dan tidak masuk akal. Memiliki personaliti gila-gila, Kimiko Nishimoto, 90, mula berkarya setelah menyertai kursus fotografi tempatan sewaktu dia berusia 72 tahun. "Sejak itu, fotografi menjadi hobi saya. Saya sayang kamera, malah tidur pun di sebelah kamera. Ia sentiasa ada dekat dengan saya," ujarnya yang mempunyai tiga cucu dan enam cicit. Sedekad kemudian, dia berjaya menganjurkan pameran solo di kampung halamannya. Kini, populariti yang diraih menerusi media sosial terus melonjakkan namanya. Dia bagaikan selebriti sehingga pameran terbaharunya di sebuah galeri di Tokyo dibanjiri ramai pengunjung. "Pada mulanya saya pun tak sedar yang gambar saya sangat popular. "Tiada niat untuk buat orang terpegun, saya hanya ambil gambar yang saya rasa kelakar, itu saja," ujarnya. Jika anda fikir gajet dan aplikasi suntingan imej hanya untuk golongan muda sahaja, anda patut fikir sekali lagi. Nishimoto menguasai teknik suntingan hingga membolehkan dia kelihatan terapung dalam beberapa gambarnya. Gambar bertarikh 14 Disember 2017 menunjukkan aksi Nishimoto di hadapan gambarnya pada hari pembukaan pameran fotonya di Tokyo. Foto AFP/Behrouz Mehri Antara yang paling menarik perhatian ialah gambarnya yang menaiki penyapu terbang seperti watak filem popular, Harry Potter. Lebih mengejutkan, wanita yang dilahirkan pada 1928 itu menguruskan sendiri akaun laman sosialnya manakala anak lelakinya akan membantu membuat persiapan penggambaran gambarnya. Dalam kegembiraan yang dipaparkannya, wanita itu turut menyimpan cerita sedih sejak kematian suaminya lima tahun lalu. Katanya, suaminya begitu menyokong hobi fotografinya. "Dari dulu dia sokong sahaja apa saya buat, sampai hari ini pun saya 'tunjuk' gambar-gambar saya pada dia," katanya. Nishimoto kini tinggal bersama sebuah robot manusia yang digelar Pepper, yang merupakan hadiah daripada anaknya. Robot yang dijual di Jepun itu bertujuan untuk menjadi peneman warga emas. Sementara itu, Nishimoto berkata dia hanya mahu memberi kegembiraan kepada orang ramai. "Jujurnya, saya tidak fikir terlalu mendalam apakah maksud fotografi kepada saya. "Saya mahu cuba membawa kegembiraan kepada orang ramai. Ia juga rahsia kegembiraan saya dan saya akan terus melakukannya selagi saya hidup," ujarnya lagi. - The Jakarta Post