SEORANG lelaki yang mencetuskan kekecohan di pusat beli-belah Emquartier, di Bangkok minggu lepas gara-gara disangka Johnny Depp akhirnya 'bersuara'. Katanya, walaupun dilayan sebagai bintang Hollywood dan menurunkan tandatangan, dia tidak pernah mendakwa dirinya sebagai Johnny Depp. Jurugambar kelahiran Australia ini, Vivian Grey mengimbas kembali kejadian dramatik ketika berada di dalam kedai Louis Vuitton di pusat beli-belah tersebut, Jumaat lalu, apabila tiba-tiba menyedari ramai jurugambar mengambil gambarnya. Grey mendakwa dia tidak tinggal di Bangkok, tetapi kerap ke Thailand untuk bekerja, selain sukakan budaya Thai. "Saya masuk ke Louis Vuitton dan pengurusnya datang kepada saya dan kata 'saya tahu siapa kamu'. Saya tanya 'apa yang kamu maksudkan, anda tahu siapa saya?'" katanya. "Di luar Louis Vuitton ada ramai jurugambar. Saya gembira (pengurus hubungi pengawal keselamatan) kerana saya pernah berada dalam keadaan ini sebelum ini di mana saya diserbu kerana orang ingat saya adalah John," katanya. Grey menganggap pusat beli-belah itu penuh sesak dengan jurugambar pada hari itu kerana terdapat konsert oleh band terkenal Thailand. Sebagai tindak balas kepada kisah sebelum ini yang mana ramai peminat berasa tertipu dengannya, Grey menganggapnya sebagai satu berita palsu. ARTIKEL BERKAITAN: Johnny Depp 'Buatan China' Buat Peminat Marah! Grey berkata, pada hari dimaksudkan dia tidak pernah mendakwa dirinya sebagai Johnny Depp, tetapi ramai peminat aktor itu di Thailand yang teruja dengan dirinya. "Saya dari awal lagi telah memaklumkan pusat beli-belah bahawa saya bukan Johnny Depp," katanya. Mengenai wanita yang membantunya mengawal barisan 'peminat' yang mahukan tandatangannya, Grey berkata dia tidak tahu-menahu tentang wanita berkenaan tetapi percaya dia bekerja untuk pusat membeli-belah itu berdasarkan seragam dan lencananya. "Apa yang dia lakukan adalah mengawal orang ramai." Walau bagaimanapun, dia menafikan khabar angin bahawa Emquartier merancang kehadirannya. "Tidak seorang pun membayar saya wang untuk berdiri dan melayan mereka." Menceritakan kisahnya, Grey mengakui ramai yang akan memandangnya dua kali di tempat-tempat awam. Di Thailand, secara purata, jurugambar itu berkata dia didekati sebanyak 15 hingga 20 kali untuk tanda tangan atau foto. Dia mengimbas bagaimana orang ramai mengambil gambar selfie dengannya, seorang wanita Singapura meminta dia menandatangani baju-T anaknya dan orang dari seluruh dunia mengulas penampilannya. "Ketika saya di Vietnam sekitar Krismas saya telah diburu sebanyak 300 kali. Saya dikejar di pusat beli-belah dalam tempoh beberapa hari." "Saya fikir ia lebih kepada mereka mahu mengambil gambar." Namun jurugambar berkata, dia selalu menafikan dirinya Johnny Depp. "Menurunkan autograf dan menandatangani nama Johnny Depp adalah dua perkara berbeza. Apabila orang datang kepada saya dan tanya 'Adakah anda Johnny Depp?' saya kata, 'tidak, bukan', dan mereka menjawab 'ya, betul' atau 'apa-apa saja'." Ditanya adakah dirinya sama dengan Depp, Grey berkata, 'tidak'. "Saya berpakaian seperti ini kerana fesyen. Saya mempunyai tatu kerana saya pergi membuatnya. Saya warnakan kuku kerana saya mahu melakukannya. Saya memakai kacamata kerana saya perlu membaca. Saya memakai Converse kerana saya suka meluncur. Itulah penampilan saya." Ditanya bagaimana dia berdepan dengan orang ramai yang menganggapnya sebagai bintang Hollywood dia berkata: "Saya tidak keberatan apabila sesiapa saja di dunia ini yang ingin meminta tandatangan saya. Saya rasa lucu." "Orang dari Hong Kong, Jerman, Switzerland, Norway, Amerika datang kepada saya dan ambil selfie. Mereka sopan dan saya juga tak kisah." -Coconuts