BAGI pengetua sekolah rendah awam di Ginza, Tokyo, dia mahu murid-muridnya berpakaian sesuai dengan status kawasan tersebut. Bagaimanapun, harga pakaian sekolah baharu jenama fesyen Itali, Giorgio Armani itu adalah dua kali ganda berbanding harga semasa, tidak sesuai dengan bajet ibu bapa. Sekolah Rendah Taimei, yang dikendalikan oleh Chuo Ward, merancang untuk memperkenalkan pakaian sekolah standard yang baharu, dianggap sebagai uniform bagi tahun persekolahan depan yang akan bermula pada April. Uniform semasa yang bersaiz 130 berharga sekitar 17,000 yen (RM619) untuk murid lelaki dan 19,000 yen (RM691) untuk murid perempuan merangkumi sehelai jaket, seluar atau skirt, kemeja atau blaus dan topi. Pakaian baharu pula akan menelan belanja lebih dari 40,000 yen (RM1,455) untuk item yang sama. -foto Google Maps Sekiranya murid mengenakan pakaian lengkap jenama ini termasuk beg sekolah pilihan, ves, sweater dan stokin, kosnya akan melebihi 80,000 yen (RM2,910). Ibu bapa pelajar baharu hanya menyedari tentang harga ini pada pertengahan November. Dalam satu surat, Pengetua Toshitsugu Wada menerangkan bagaimana idea pakaian baharu itu menggambarkan identiti 'sebuah sekolah di Ginza'. Suratnya mendapat bantahan ibu bapa yang menghantar banyak e-mel kepada lembaga pendidikan mengadu tentang beban kewangan. Pakaian baharu itu akan diperkenalkan untuk pelajar yang memasuki sekolah pada April, sementara pelajar sedia ada boleh terus memakai pakaian semasa mereka. Pada akhir bulan November, lembaga pendidikan yang prihatin bertanyakan Wada tentang kemungkinan membatalkan cadangan pakaian baru itu. Pengetua berkata pakaian sekolah semasa tidak lagi dibuat, menyebabkan lembaga menyimpulkan bahawa perubahan itu tidak boleh ditangguhkan. Pada 8 Februari, Wada menyiarkan satu kenyataan di laman web sekolah itu. "Saya membuat keputusan untuk masa depan Sekolah Rendah Taimei," tulis Wada. "Saya berasa rendah diri dengan aduan mengenai kekurangan penjelasan dan pengumuman yang lewat dan saya akan berusaha sebaik-baiknya untuk menjelaskannya dengan jelas (untuk mendapatkan pemahaman)." Sekolah Rendah Taimei mempunyai 334 pelajar yang mendaftar pada April dan dijangkakan mempunyai 60 graduan pertama tahun depan. Yang menimbulkan tanda tanya, ia bukanlah sekolah swasta. -Asahi Shimbun