SEBUAH kapal persiaran terpaksa berpatah balik ke Sydney selepas berlaku pergaduhan antara beberapa penumpang ketika menunggu giliran untuk ke tandas. Susulan insiden itu juga, seorang wanita Rusia telah didakwa kerana menyerang seorang lelaki menggunakan botol arak kosong. Pergelutan tercetus di antara beberapa lelaki di awal pagi Ahad ketika penumpang berkenaan sedang berbaris untuk menggunakan tandas di kapal mewah itu. "Ketika pergaduhan itu berlaku, seorang wanita berusia 37 tahun yang juga teman wanita salah seorang penumpang lelaki itu telah menyerang lelaki berusia 21 tahun dengan memukul kepala pemuda itu dengan botol arak kosong," kata polis New South Wales. Pihak keselamatan bertindak pantas meleraikan pergaduhan itu dan menahan lelaki dan wanita terlibat. Kapal itu yang dijadualkan berlayar tiga hari di perairan Australia menerusi "Pelayaran Komedi Gala" telah kembali ke Sydney di mana enam lelaki dan seorang wanita diarahkan meninggalkan kapal itu dan ditahan polis. Selepas disoal siasat, semua lelaki terlibat dibebaskan kecuali wanita berkenaan didakwa kerana menyebabkan kecederaan. Wanita itu kemudiannya dibenarkan ikat jamin dan diarah hadir ke mahkamah Sydney pada 9 Mac.