KAHERAH: Sekurang-kurangnya 10 pengganas terbunuh pada Ahad dalam satu serbuan polis di Arish, Sinai Utara yang bersempadan dengan Israel dan Semenanjung Gaza di Palestin, lapor agensi berita China Xinhua memetik sumber keselamatan dan perubatan. Mayat kesemua anggota militan itu telah dibawa ke sebuah hospital berhampiran di wilayah Ismailia.Serbuan itu adalah sebahagian kempen antikeganasan besar-besaran Mesir dinamakan "Sinai 2018" yang bermula pada Jumaat. Terdahulu, tentera Mesir mengumumkan bahawa mereka telah membunuh sekurang-kurangnya 16 anggota militan dan menahan empat suspek di bahagian utara semenanjung Sinai yang bergolak. Sinai Utara telah menjadi tumpuan serangan pengganas yang meragut nyawa beratus-ratus anggota polis dan tentera berikutan penyingkiran bekas presiden Islam, Mohamed Morsi, oleh pihak tentera pada Julai 2013. Serangan itu kemudian telah merebak ke wilayah lain termasuk ibu kota Kaherah dan mula menyasarkan minoriti Kristian Qibti menerusi beberapa siri tembakan dan pengeboman di gereja. Pada November 2017, pengganas telah menyerang sebuah masjid di Arish dan membunuh sekurang-kurangnya 310 penganut Islam serta mencederakan lebih 120 yang lain. Ia merupakan serangan pengganas paling dahsyat dan yang pertama ke atas sebuah masjid dalam sejarah moden Mesir. Kebanyakan serangan itu dipercayai dilakukan oleh Wilayat Sinai, sebuah kumpulan pengganas yang berpangkalan di Sinai dan sekutu militan Daesh. Susulan serangan ke atas masjid, Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi telah mengarahkan tentera untuk memulihkan keselamatan dan kestabilan di Sinai Utara dalam tempoh tiga bulan. "Sinai 2018" digerakkan beberapa minggu sebelum Mesir memulakan pilihan raya presiden 2018 yang dijadualkan pada akhir Mac, yang mana Presiden Abdel Fattah dijangka memenangi penggal kedua jawatan beliau dengan mudah.-Bernama