PUTERA Charles bakal menganjurkan parti tertutup untuk pasangan bakal pengantin baharu, Putera Harry dan Meghan Markle setelah tamatnya sesi ramah mesra bersama rakyat jelata di Winsdor. Orang ramai dijangka membanjiri jalan di kawasan itu bagi meraikan Harry, 33 dan Meghan, 36, setelah mereka disatukan di Berkshire. Menerusi kenyataan terkini, Istana Kensington mengumumkan perkahwinan diraja itu akan berlangsung pada 19 Mei depan. Menurut jurucakap Istana, pasangan itu menzahirkan kesyukuran mereka atas ucapan dan doa yang dikirimkan orang ramai semenjak pertunangan mereka diumumkan. "Mereka berdua tidak sabar untuk hari bersejarah itu dan mahu meraikannya dengan rakyat jelata. Perkahwinan yang akan berlangsung di Gereja St George, Istana Windsor akan dikendalikan oleh Ketua Keagamaan, David Corner, manakala ikrar perkahwinan akan disahkan oleh Ketua Biskop Canterbury, Justin Welby. Perarakan pula akan dilakukan dari Istana Windsor sebelum melalui High Street di Bandar Windsor, dan kembali ke Istana Windsor. Menurut jurucakap itu lagi, dia berharap perarakan itu akan memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai hari bersejarah itu. Dalam pada itu, majlis resepsi akan berlangsung di Dewan St George selepas tamatnya perarakan. Pada petangnya pula, Putera Charles yang juga bapa pengantin lelaki akan menganjurkan parti tetutup untuk keluarga dan sahabat terdekat keluarga diraja itu. Antara yang akan hadir ke acara itu ialah Kate Middleton yang juga isteri kepada Putera William. Wanita yang sedang berbadan dua itu dijangka melahirkan anak ketiga, April ini. Di lokasi sama pada 2005, seramai 20,000 orang membanjiri jalanan bagi meraikan perkahwinan Putera Charles dan Camilla. Perkahwinan Harry dan Markle yang menjadi bualan ramai ini dijangka akan menarik ramai orang untuk membanjiri kawasan itu sekali lagi pada Mei ini.