SEORANG lelaki gelandangan menjadikan sebuah pondok telefon sebagai kediamannya sejak empat bulan lalu. Berbekalkan beberapa helai cadar dan sebuah beg untuk memanaskan badan, Stephen Pope, mendiami pondok telefon itu yang terletak di kawasan sebuah pasar raya di Bordesley Green, Birmingham. Dia yang berusia 42 tahun hidup atas ihsan orang ramai yang sentiasa memberi makanan dan minuman untuknya, lapor Birmingham Live. "Saya memang tak mahu meminta-minta, tapi orang ramai sangat baik dan pemurah. "Bukan sahaja orang yang lalu lalang, malah mereka yang tinggal berdekatan juga sering memberi makanan kepada saya," ujar Stephen. Walaupun baru empat bulan mendiami pondok berkenaan, Stephen sebenarnya mula menjadi gelandangan sejak empat tahun lalu. Segalanya bermula setelah kematian kedua ibu bapanya, diikuti insiden dia dibuang kerja. Walaupun mempunyai seorang abang, dia yang dahulunya bekerja sebagai buruh kontrak memilih untuk tidak menyusahkan saudara kandungnya itu. Sewaktu dihampiri, Stephen bersetuju untuk ditemubual namun menolak untuk gambarnya dirakam. Katanya, dia malu dengan keadaan diri dan kehidupannya. "Bukan mudah tinggal dalam sebuah pondok telefon. Tapi, sekurang-kurangnya ia dapat melindungi saya dari ditimpa hujan. "Pada waktu malam, cuaca sangat sejuk. Kadang-kala, malam terasa begitu lama, bagaikan pagi tak akan tiba," luah Stephen. Sewaktu mula-mula menjadi gelandangan empat tahun lalu, dia tinggal di jalanan di pusat bandar Birmingham sebelum berpindah kerana ancaman ular Black Mamba di kawasan itu. "Di sana agak bahaya, banyak ular Black Mamba. Ditambah dengan gejala dadah dan sebagainya," ujar Stephen. Mengulas mengenai masa depannya, Stephen mengimpikan untuk tinggal di sebuah flat di Yardley, berdekatan dengan kawan-kawan dan keluarganya. "Saya sebolehnya tak mahu tinggal di asrama. Kalau ikutkan pengalaman saya, bila bergaul dengan ramai orang di asrama, pasti akan terlibat dengan alkohol dan dadah. "Saya harap akan diberi peluang untuk memiliki flat sendiri dan mendapat pekerjaan seperti dahulu," katanya