SEORANG menteri kesihatan dirakam sedang kencing di sebuah dinding di tepi jalan. Tindakannya itu berlaku ketika negaranya mahu menamatkan amalan pembuangan air secara terbuka di tempat awam dan menggalakkan gaya hidup bersih dan sihat. Kalicharan Saraf, menteri kesihatan untuk negeri Rajasthan, India, dirakamkan gambarnya sedang kencing di sebuah dinding Jaipur. Gambar itu di'tweet' oleh pensyarah dari parti Kongres pembangkang. Gambar itu tular dan mencetuskan rasa malu buat Safar dan Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah. Menamatkan amalan membuang air di tempat awam adalah keutamaan dalam kempen 'Bersih India', satu dasar perdana di bawah Perdana Menteri India Narendra Modi. Modi sering dirakam memegang penyapunya sendiri dan menyapu jalan-jalan sebagai sebahagian daripada kempen, yang menghasilkan senarai tahunan 100 bandar-bandar India yang paling bersih. Jaipur masih belum muncul dalam senarai. Modi berikrar membasmi amalan membuang air secara terbuka pada Oktober 2019 dan pentadbirannya mendakwa telah membina tandas dengan peruntukan jutaan ringgit di seluruh negara sejak mula berkuasa pada 2014, dengan lebih banyak tandas dijadualkan dibina pada pertengahan tahun depan. "Kita perlu membina tandas sebelum kuil," kata Modi dalam ucapan tahun lepas. Lelaki kencing di khalayak ramai di bandar dan kampung di India adalah pemandangan biasa dan kira-kira setengah bilion orang di negara ini masih buang air besar di merata tempat, amalan yang dianggap penyebab utama kadar kematian akibat cirit-birit di negara ini dalam kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah. Saraf enggan memberi komen, memberitahu agensi India bahawa gambar itu 'bukan masalah besar'. -The Guardian