SEORANG wanita menderita menghidap sindrom aksen asing, satu keadaan yang sangat jarang berlaku. Sindrom yang dihidap oleh Michelle Myers, 45, dari Phoenix, Arizona menyebabkan dia bercakap dalam pelbagai loghat orang asing termasuk British, Australia dan Ireland, walaupun tidak pernah mengembara luar Amerika Syarikat. Myers didiagnosis keadaan luar biasa itu pada 2015, apabila kepalanya begitu sakit ketika tidur dan apabila bangun, dia tidak dapat bercakap dengan bahagian kiri tubuhnya kaku. Dia dibawa ke Hospital West Valley berhampiran Goodyear, di mana doktor berkata dia mengalami aphasia, hilang upaya untuk bercakap, gejala berkaitan strok atau kecederaan otak. Bagaimanapun, diagnosis mereka menimbulkan kekeliruan apabila wanita itu mula bercakap semula. "Saya sebut 'my name is Michelle' tapi yang keluar seperti 'rabbit, fox" kata Myers kepada Fox News. "Siapa pun tak faham apa saya sebut. Saya fikir sesuatu berlaku pada otak saya?." Akhirnya, ayat-ayat yang mula disebutnya mula difahami sekali lagi, tetapi ada sesuatu yang aneh tentang loghatnya. Lahir dan dibesarkan di Oklahoma, percakapan Myers didengar seperti dia dari United Kingdom. Loghat Britishnya yang pekat mengejutkan doktor, jadi mereka memanggil psikiatri untuk melakukan satu siri ujian. Dia didiagnosis dengan sindrom aksen asing, keadaan yang sangat jarang berlaku, dengan hanya 60 kes dilaporkan sejak tahun 1907. Loghat wanita itu berubah pada Mei 2015 dan tidak hilang sejak itu, walaupun dia bertemu ramai pakar dan pakar neurologi. Dia mendakwa amat sukar baginya untuk berdepan keadaan itu, terutamanya pada peringkat awal apabila orang sekeliling melihatnya sebagai jenaka dan berkata 'kamu bercakap macam Spice Girl'. Tetapi dia belajar meneruskan kehidupan dan sedar loghat British mungkin melekat selama-lamanya, jadi dia kini memberi tumpuan untuk menyebarkan kesedaran tentang sindrom peliknya itu. Michelle Myers. -fotoFB "Saya buat apa saja untuk jadi normal. Penyakit-penyakit pelik sangat mengganggu emosional. Anda rasa bersendirian, terpencil. "Saya ingin bantu orang tertentu supaya mereka tidak perlu bersembunyi. Saya faham ini tidak masuk akal dan saya menghidapnya. Apa yang perlu anda buat adalah Google tentang sindrom ini. Saya bukan orang pertama mendapat sindrom ini." Menariknya, perubahan loghat Myers pada 2015 adalah yang paling lama lagi, walaupun ia bukan yang pertama kali. Pada tahun 2011, selepas mengalami sakit kepala selama tiga hari, dia bangun dengan loghat orang Ireland. Keluarga dan rakan-rakannya menyangka dia main-main, tetapi mereka nampak dia panik. Nasib baik loghat itu hilang. "Ia mengambil masa lapan hari," kata Myers. "Suatu pagi, saya bangun dan loghat itu tak begitu teruk. Pada waktu petang ia hilang sepenuhnya, begitu juga sakit kepala." Kemudian, pada 2014, ia berlaku sekali lagi apabila dia sakit kepala dan bahagian kiri tubuhnya kebas serta tidak dapat bercakap. Apabila dapat bercakap, loghatnya seperti orang Australia dan hilang selepas dua hari.