SEORANG penumpang yang menaiki pesawat terhempas di kawasan pergunungan di Iran dan membunuh semua 66 orang di atas kapal sempat menghantar gambar terakhir kepada teman wanitanya sebelum berlepas. Lelaki itu yang dikenal pasti sebagai Salman Azari mengambil gambar sayap dan kipas pesawat dan berkongsi dengan kekasihnya dalam perbualan di telefon bimbit. Dia menulis 'Semoga Tuhan melindungi kita untuk selamat sampai', lapor wartawan yang berpangkalan di Tehran, Natalie Amiri dari penyiar Jerman ARD. Pesawat Aseman Airlines yang dilaporkan membuat pendaratan kecemasan awal bulan ini, berlepas dari Tehran ke Yasuj apabila ia hilang dari radar sekitar 90 minit selepas berlepas. Syarikat penerbangan itu memberitahu media Iran bahawa kesemua 60 penumpang dan enam anak kapal pesawat ATR 72 pesawat enjin berkembar terbunuh apabila pesawat itu terhempas dalam cuaca buruk. Gambar yang dimuat naik di Twitter wartawan Natalie Amiri. Seorang lelaki yang dikatakan terlepas penerbangan malang itu memberitahu Agensi Berita Tabnak Iran: "Tuhan melindungi saya tetapi saya sangat sedih bagi pihak semua yang kehilangan orang tersayang." Penerbangan domestik itu berlepas dari Lapangan Terbang Mehrabad Tehran kira-kira jam 8 pagi waktu tempatan yang perjalanannya ke Yasuj mengambil masa kira-kira dua jam, tetapi tidak lama kemudian hilang dari skrin radar, mencetuskan pencarian dilakukan secara meluas. Laman web pengesan penerbangan Flightradar24 melaporkan bahawa isyarat terakhir pesawat itu diterima sebelum jam 9.30 pagi waktu tempatan ketika pesawat berada pada ketinggian 16,975 kaki dan menurun. Pesawat itu terhempas ke gunung Dena yang dilitupi salji berhampiran Semirom di wilayah Isfahan, kira-kira 300 batu di selatan Tehran, tetapi helikopter yang membawa pasukan penyelamat tidak dapat mendarat di lokasi terpencil itu akibat kabus tebal dan ribut salji. Sebuah drone telah dihantar ke kawasan gunung untuk mencari bangkai pesawat, manakala petugas cuba untuk sampai ke tapak kejadian dengan berjalan kaki. Media Iran menyiarkan gambar juruterbang, termasuk kapten yang berpengalaman dan pengawal keselamatan, serta senarai penumpang. Mereka yang tinggal di sekitar kaki gunung memberitahu media tempatan melihat pesawat sedang mencari tempat untuk mendarat di kawasan lapang sebelum nahas dan mereka bunyi luar biasa antara jam 9.30 pagi dan 9.40 pagi. Syarikat penerbangan itu mengesahkan tiada mangsa yang selamat. Menurut laporan kapten pesawat itu pernah terlibat dalam keadaan kecemasan yang mana beliau berjaya mendaratkan sebuah pesawat di lapangan terbang Yasuj berikutan kegagalan enjin pada 2013. -Mirror