POPULARITI sebuah restoran di Tokyo, Jepun, naik mendadak selepas gambar sup ramen biru lautnya tular. Sup biru di restoran itu tidak semestinya menjadi hidangan paling sedap, tetapi orang ramai tetap menyerbu Kipposhi, sebuah restoran ramen yang terletak di tengah-tengah Tokyo, untuk mencuba Sup Ayam Biru Jernih yang terkenal itu atau sekurang-kurangnya mengambil gambar untuk dimuat naik di media sosial. Semuanya bermula pada Januari 2017, ketika pemilik Kipposhi dan pencipta ramen biru unik ini, Kozuimi, menyiarkan gambar menu rekaannya di Instagram. Ia tular hampir serta-merta, menjadi sensasi media sosial dan meletakkan restoran ramen ini dalam senarai lokasi yang mesti dilawati di Tokyo. Majalah Matcha melaporkan bahawa sup biru yang kini popular itu diilhamkan dari Laut Hawaii yang indah. Menikmati ‘keindahan’ lautan biru dalam mangkuk sup, bagaimanapun, adalah satu tugas yang lebih menakutkan daripada apa yang dibayangkan. -foto FB Kipposhi Seperti kebanyakan pakar ramen lain, Kozuimi menggunakan air rebusan ayam untuk supnya, tetapi bergantung kepada teknik Cina lama untuk memastikan sup yang dimasak akhirnya jernih. Disebut Chintan, teknik ini melibatkan sup yang dididih dengan daging cincang yang menyerap zarah-zarah dan akhirnya menjadi jernih. Orang ramai telah membuat spekulasi bahawa warna biru luar biasa sup ini diperolehi dari Pycocyanin, satu pigmen semulajadi yang diekstrak dari alga spirulina. Ia dikenali sebagai 'Lina Blue' di Jepun, dan ia digunakan secara meluas sebagai agen pewarna dalam gula-gula, ais krim dan minuman. Menariknya, SoraNews24 melaporkan bahawa hidangan ini bukan ramen biru pertama di Jepun. Empat tahun yang lalu, kedai ramen di Nipponbashi, Tokyo, juga memperkenalkan hidangan baru dalam menu yang dipanggil Lina Blue Cooled Ramen. Malangnya, Instagram tidak begitu popular pada masa itu, jadi ia tidak memberikan kesan yang besar seperti Kipposhi.