PERDANA Menteri Kanada, Justin Trudeau kini dalam lawatan kerja seminggu ke India dan walaupun tidak mendapat liputan meluas selain sambutan agak dingin diterimanya, namum perdana menteri Kanada itu tetap memenangi hati pengguna Twitter. Rata-rata Twitterati atau pengguna media sosial Twitter tertarik dengan penampilan Trudeau pada majlis rasmi yang dihadirinya ketika lawatan di India. Trudeau, dipuji kerana bijak memilih busana umpama artis tempatan yang mendapat sentuhan pakar fesyen. Umpama pengantin lelaki di majlis perkahwinan, beliau meninjau pelbagai destinasi pelancongan di India. Ketika melawat Kuil Sabarmati Ashram dan Akshardham di Ahmadabad pada 19 Februari lalu, pemimpin berusia 46 tahun itu memakai kemeja paras lutut dengan fabrik renda merah pada lengan dan dilengkapkan dengan seluar tona krim. Sementara itu, isteri dan anaknya juga dilihat memakai busana lengkap kurta kuning, oren dan merah di mana isterinya, Sophie Gregoire Trudeau memilih rekaan pereka fesyen tempatan, Anita Dongre. Susulan perhatian yang ramai terhadap mereka, majlis makan malam gala turut diadakan untuk meraikan keluarga Kanada ini di Mumbai pada 20 Februari lalu yang turut dihadiri aktor terkemuka, Shah Rukh Khan. Pelbagai reaksi diterima, ada yang kagum dan tidak kurang juga yang menganggap penampilan Trudeau sekeluarga itu bukan amalan atau budaya masyarakat Bollywood. Bertolak daripada pelbagai komen itu, Trudeau pantas bertindak dengan hanya memakai kurta putih ketika lawatannya sekitar kuil di Amritsar.-IndiaToday