SEEKOR harimau Sumatera dibunuh dengan kejam oleh penduduk Kampung Bankelang di Kabupaten Mandailing Natal, Sumatera Utara. Pembunuhan spesies yang dilindungi dan semakin terancam itu dilaporkan didorong oleh kepercayaan tahyul penduduk kampung. Menurut pihak berkuasa, penduduk di Bankelang mengalami masalah dengan kehadiran harimau di kawasan itu, dengan khabar angin menyatakan harimau itu sebenarnya seekor harimau jadian dengan kepala manusia. Dua minggu yang lalu, seorang penduduk kampung masuk ke hutan untuk mengesahkan khabar angin itu, yang mana dia kemudian cedera parah selepas digigit harimau tersebut. Kemudian, pagi Isnin, harimau itu dilihat sedang tidur di bawah kolong sebuah rumah penduduk kampung berkenaan. Penduduk kampung kemudian membunuh harimau itu sebelum ia ditembak oleh polis tempatan. "Pegawai Konservasi Sumber Daya Alam (BBKSDA) Sumatera Utara sudah seminggu berada di Desa Bangkelang melakukan pemantauan. "Petugas sudah berupaya menghalau harimau itu masuk ke perkampungan serta melarang penduduk membunuhnya. Namun ia tidak diendahkan," kata Ketua BBKSDA Sumatera Utara, Hotmauli Sianturi memetik Tempo. Bedah siasat dilakukan. -foto Mongabay Indonesia Penduduk kampung kemudian mengangkat bangkai harimau, menggantungnya di tiang di bawah siling balai awam kampung untuk dipamerkan kepada penduduk kampung. Gambar mengerikan itu tular di media sosial. BBSKDA menghubungi polis wilayah untuk membantu memastikan bangkai harimau tidak diapa-apakan dan untuk tujuan bedah siasat. Mereka menyatakan bahawa beberapa organ harimau itu hilang. Tiada tangkapan telah dibuat setakat ini. Di bawah undang-undang Indonesia, membunuh spesies yang dilindungi boleh dihukum hingga lima tahun penjara. Harimau Sumatera dianggap sangat terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam, dengan hanya 400 hingga 500 ekor masih hidup. -coconuts