WASHINGTON: Muzium Peringatan Holokaus Amerika Syarikat (AS) menarik semula anugerah berprestij hak asasi manusia yang diberikan kepada pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi kerana gagal bertindak menangani isu kekejaman terhadap etnik Islam Rohingya. Muzium itu mengiktiraf perjuangan Suu Kyi menentang pemerintahan kuku besi junta tentera dan seterusnya memenangi Hadiah Nobel Keamanan pada 1991 menerusi anugerah Elie Wiesel. Ia juga sebagai menghargai jasanya menentang kezaliman dan meraih kemerdekaan untuk semua rakyat Myanmar. Muzium berkenaan bagaimanapun memutuskan untuk menarik semula anugerah berkenaan selepas memperoleh bukti yang menunjukkan wanita itu hanya berdiam diri dalam operasi ketenteraan ke atas etnik terbabit. "Selepas serangan tentera ke atas masyarakat Rohingya didedahkan pada 2016 dan 2017, kami berharap anda sebagai seorang individu yang selama ini berjuang untuk kemerdekaan rakyat Myanmar melakukan sesuatu bagi membantu etnik itu, atau sekurang-kurangnya menyuarakan pendapat mengutuk kezaliman berkenaan," kata pengurusan muzium berkenaan dalam surat rasmi kepada Suu Kyi. Suu Kyi dan parti Liga Demokrasi Nasional jelas mereka, menolak untuk bekerjasama dengan pasukan penyiasat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan kekal sebagai satu retorik dalam gerakan anti Rohingya. "Tindakan zalim pihak tentera khususnya sejak beberapa bulan kebelakangan ini menuntut anda melakukan sesuatu yang boleh membantu tetapi anda memilih untuk berdiam diri," kata surat itu lagi. November lalu, anugerah Kebebasan Oxford yang diterima Suu Kyi secara rasminya kini ditarik balik selepas mengambil kira sikap dan peranan yang gagal dimainkannya dalam menangani krisis kekejaman tentera terhadap etnik Rohingya.-Reuters