SEORANG lelaki telah menjadi tajuk berita di negaranya selepas mendakwa berdepan fenomena paranormal yang aneh. Lelaki Argentina itu mendakwa pengembara 'hitchiking' yang ditumpangkannya dari tepi jalan lesap dari kerusi penumpang di bahagian depan traknya, meninggalkan hanya bau hangit dan kesan kasut cair pada tikar getah kenderaannya. Pedro Peirone, dari bandar San Jose de la Esquina, di Santa Fe, Amerika Selatan sedang memandu pulang pada 26 Februari, apabila melihat seorang lelaki muda pengembara hitchiking di tepi jalan. Seperti yang sering dilakukannya ketika dalam perjalanan di sekitar wilayah itu, Peirone menawarkan perjalanan kepada lelaki terbabit. Walaupun dia nampak agak malu dan pendiam, Peirone berkata dia tetap kelihatan seperti pengembara lain yang biasa dijemputnya. Katanya, sudah ramai pengembara hitchiking yang telah dibantunya dan dia tidak dapat mengingati wajah mereka, tetapi insiden terbaru ini akan kekal sebagai memori sepanjang hayatnya. Mengimbas kejadian itu, Peirone berkata dia berharap akan mendapat lebih maklumat tentang penumpang misterinya. Apa yang dapat diingatinya, lelaki itu datang dari bandar Arteaga dan berusia 17 tahun. Apabila ditanya sama ada dia mahu pergi ke San Jose de la Esquina, budak itu berkata 'tidak' sambil menambah dia akan memberitahu Peirone di mana dia mahu berhenti. "Akhirnya, dia minta saya menurunkannya di simpang jalan menuju tanah perkuburan dan sebaik sahaja tiba di situ, saya terhidu bau hangit yang dahsyat," kata Peirone kepada wartawan. "Saya berhenti periksa jika ada benda terbakar, periksa belakang trak dan sebaik sahaja berpaling, sudah tiada sesiapa di dalam trak." Dia dalam keadaan terkejut memeriksa kerusi penumpang dengan lebih teliti, tetapi apa yang ditemuinya adalah kesan dua tapak kaki yang cair di tikar getah kereta dan bau hangit. Dia sempat melihat keadaan sekeliling tetapi kelibat lelaki itu tidak dapat dilihat selain tidak ada kesan tapak kaki. Beberapa rakannya kebetulan lalu di situ dan membantunya mencari pengembara itu tetapi usaha mereka gagal. Peirone akhirnya membuat laporan polis. Kisahnya tersebar tular dan tidak lama kemudian lelaki itu dihubungi oleh berpuluh-puluh stesen TV dan radio untuk temubual. Dia juga membawa beberapa wartawan ke tempat di mana penumpang itu didakwa lenyap dari traknya dan menunjukkan kepada mereka kesan kasut tikar getah cair. Media juga melakukan sedikit kaji selidik mengenai latar belakang Peirone, untuk mengetahui sama ada dia tidak mereka-reka cerita. Tetapi orang ramai menggambarkannya sebagai seorang yang disegani, bekerja keras dan seorang penganut Katolik yang baik. "Saya sedikit tertekan, panik. Saya tak takut, tetapi saya tak dapat jelaskan apa yang berlaku," kata lelaki itu dalam satu temubual. - rosarioplus