SEORANG tentera yang mengangkat tangan dan didakwa menunjukkan isyarat lucah di depan kamera dalam satu rakaman video yang tular berkata dia 'hanya melambai' tangan. Dalam kejadian yang berlaku di Dewan Bandaraya di wilayah utara Phayao pada Jumaat, anggota 'People Go Network' menuntut pihak bandaraya menggugurkan pendakwaan terhadap 14 penyokong mereka yang dituduh melanggar perintah junta yang melarang perhimpunan awam lebih daripada empat orang. Kolonel Thinnachart Sutthirak, yang merupakan ketua perisikan di satu unit ketenteraan di bahagian utara, telah bertindak menghalang para penunjuk perasaan. Semasa rundingan, dia dilihat banyak membuat gerakan tangan, menuding jari dan melambai. Pada satu ketika, dia dilihat menunjukkan isyarat lucah tetapi kemudian mempertahankan tindakannya menyatakan dia hanya melambai tangan. Pegawai itu memberitahu Pachathai: "Tolong tonton klip itu. Anda akan dapat lihat saya tidak buat isyarat jari. Saya bertegas bahawa saya tidak melakukannya. Sekiranya saya melakukannya, ia akan lebih jelas." Adakah ini satu lambaian? Netizen telah membuat video gerakan perlahan untuk orang ramai menilai. Dan gambar kolaj pergerakan tangannya juga boleh memberikan jawapan. Komandernya, Pol. Kolonel Mongkol Pakamma telah meminta maaf kepada orang ramai dan menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat kes ini. Hasilnya dijangka dalam masa tiga hari. "Sebagai komandernya, saya ingin memohon maaf kepada orang ramai dan akhbar, bagi pihak tentera saya yang melambaikan tangannya dengan cara sedemikian," katanya.