suria

Akhirnya Pembunuh Upahan Paling Berani Thailand Masuk Perangkap

Suspek pelbagai kes jenayah, Ja Hin yang juga bekas pegawai polis akhirnya ditahan baru-baru ini.

MEMULAKAN kerjaya sebagai anggota pasukan keselamatan dan kemudiannya berubah menjadi pembunuh upahan yang menjadi buruan polis.

Demikian laluan hidup bekas Sarjan Mejar Anan Hincheeranan yang dibuang kerja kerana terlibat dalam kes bunuh pada 2004.

Kerjayanya berakhir selepas menembak mati seorang pengawal keselamatan di sebuah pusat hiburan di Phuket kerana berang dengan  lelaki terbabit.

Dikenali sebagai Ja Hin Muang Phet, penjenayah ini tersenarai antara individu paling dikehendaki polis Thailand sejak beberapa tahun lalu.

Baru-baru ini, suspek pelbagai kes jenayah termasuk dadah dan kongsi gelap ini akhirnya terperangkap dan ditahan polis negaranya.

Pasukan khas yang dibentuk polis Thai yang diketuai Leftenan Kolonel Sarawut Chantawong berjaya menjejak suspek berusia 47 tahun itu di Phetchaburi, baru-baru ini.

Lelaki ini bukan pegawai polis Thai yang pertama mengubah kehidupan dengan melibatkan diri dalam kegiatan jenayah.

Ja Hin terkenal sebagai pembunuh upahan yang berani dan mampu melaksanakan tugasan yang diberikan tanpa gagal.

Dalam perkembangan terkini, sebaik mendapat maklumat Ja Hin menjalankan operasi perniagaan hartanah, pasukan khas itu telah merangka pelan untuk memerangkapnya.

Seorang anggota polis telah diarah menghubungi suspek untuk menyamar sebagai pelanggan yang berminat untuk membeli rumah.

Ketika pertemuan antara keduanya, Ja Hin yang datang sendirian dan tidak membawa senjata membuatkan polis pantas bertindak menahannya.-TheBangkokPost


 



Ja Hin, Phuket

Artikel Lain