WASHINGTON: Stormy Daniels, seorang bintang filem lucah Amerika Syarikat (AS) yang didakwa menjalinkan hubungan seksual dengan Presiden Donald Trump, telah menceritakan kisahnya ketika diwawancara dalam satu program hal ehwal isu semasa tempatan pada Ahad. Daniels, atau nama sebenarnya Stephanie Clifford, berkata dia mengadakan hubungan seks dengan Trump pada Julai 2006, yang dipersetujui bersama, dan mereka kekal berhubungan selepas itu, namun tidak lagi melakukan seks, lapor agensi berita China Xinhua. Daniels berkata dia berasa terancam dengan hubungan itu pada 2011 selepas setuju diwawancara oleh sebuah majalah gosip selebriti AS dengan bayaran sebanyak AS$15,000. Daniels berkata seorang lelaki telah mendekatinya di sebuah lot parkir di Las Vegas dan memberi amaran 'jangan ganggu Trump. Lupakan sahaja cerita itu'. Dia berkata lelaki itu kemudian memandang anak perempuannya dan berkata, 'cantiknya budak perempuan itu. Malang sungguh jika sesuatu terjadi kepada ibunya'. ARTIKEL BERKAITAN: Model Playboy Dedah Trump Pernah Beri Wang Selepas Seks Daniels menerima bayaran mingguan sebanyak AS$130,000 sebelum pilihan raya presiden 2016 dan telah menandatangani satu perjanjian ketakdedahan, yang tidak ditandatangani Trump sendiri sebaliknya oleh peguam peribadi beliau, Michael Cohen. Cohen telah menyatakan bahawa Trump tidak pernah mempunyai hubungan sulit dengan Daniels. Ketika Daniels mengemukakan permohonan untuk mengesahkan perjanjian itu, Cohen dan peguam Trump yang lain menyaman wanita itu menuntut pampasan sebanyak AS$20 juta. Cohen berkata beliau telah menggunakan wangnya sendiri untuk menutup mulut aktres itu dan belum dibayar balik. Transaksi yang dilakukan Cohen itu telah menarik perhatian pihak berkuasa persekutuan yang menyelia sumbangan kempen. Sekiranya bayaran itu dibuat untuk memberi manfaat kepada Trump dari segi politik, ia boleh dilihat sebagai sumbangan kempen yang tidak sah. Trump atau Rumah Putih belum memberi respons terhadap wawancara yang membabitkan Daniels. Trump dan Cohen dilaporkan makan malam bersama pada Sabtu. -Bernama