suria

Zuckerberg Beli Iklan Penuh Akhbar Britain, AS Demi Mohon Maaf

Iklan halaman penuh memaparkan permohonan maaf Zuckerberg terhadap penyalahagunaan data oleh syarikatnya. - AFP

SAN FRANCISCO: CEO Facebook, Mark Zuckerberg (gambar), pada Ahad telah memohon maaf menerusi iklan halaman penuh dalam beberapa akhbar di Britain dan Amerika Syarikat (AS) berhubung skandal penyalahgunaan data yang menjerumuskan syarikat media sosial terbesar di dunia itu di bawah tekanan yang amat hebat.

Iklan Facebook itu muncul dalam akhbar seperti Observer, Sunday Times, Mail on Sunday, Sunday Mirror dan Sunday Express di Britain serta New York Times, Washington Post dan Wall Street Journal di AS, lapor agensi berita China Xinhua.

"Anda mungkin telah mendengar mengenai satu aplikasi kuiz yang dibangunkan oleh seorang penyelidik universiti yang membocorkan data jutaan pengguna Facebook pada 2014," kata iklan yang ditandatangani Zuckerberg, merujuk kepada syarikat perunding Britain, Cambridge Analytica, yang didakwa memanipulasi data Facebook semasa kempen pilihan raya presiden AS pada 2016.

"Ini merupakan satu perbuatan pecah amanah, dan saya minta maaf kerana tidak mengambil tindakan selanjutnya pada masa itu. Kami kini mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan perkara ini tidak akan berulang," kata Zuckerberg dalam iklan itu.

Beliau berkata Facebook kini telah mengehadkan aplikasi daripada mendapatkan data pengguna ketika mereka daftar masuk, dan akan memantau setiap aplikasi yang mempunyai akses kepada set data yang besar.

"Jika mengesan pesalah lain, ia akan menyekat mereka dan memaklumkan pengguna yang terjejas," katanya.

Permohonan maaf Zuckerberg dibuat beberapa selepas Facebook dikritik kerana gagal melindungi data lebih 50 juta pengguna. Data itu dikatakan telah disalah guna oleh Cambridge Analytica dalam aktiviti yang didakwa berkaitan dengan kempen pilihan raya Presiden AS Donald Trump pada 2016.

Mark Zuckerberg

Artikel Lain