SESIAPA yang menonton upacara pembukaan Sukan Komanwel di Gold Coast pada malam Rabu pasti mengingati satu kejadian tak diingini ketika penyanyi Rikki-Lee Coulter membuat persembahan bertemakan pantai. Sekurang-kurangnya 100 penari, termasuk Georgia Lear telah berkongsi pentas berpasir dengan penyanyi itu, yang diadakan di Stadium Carrara. Lear, 19, sebelum ini tidak diketahui identitinya walaupun menjadi sensasi media sosial apabila kamera merakamkan gambar punggungnya ketika dia sedang berlari membongkok di celah kumpulan penyanyi yang memakai pakaian pantai dan memegang tuala ketika membuat persembahan secara langsung itu. Untuk beberapa saat, ia dapat dilihat oleh hampir tiga juta penonton di seluruh Australia dan jutaan penonton lain di seluruh dunia. Beberapa orang kenamaan juga hadir dalam acara itu. Ia telah menjadi berita utama di seluruh dunia dan keesokan harinya Lear tampil dan mendakwa penari yang tular di media sosial itu adalah dirinya, melalui posting di Instagramnya. Bercakap kepada ABC Brisbane pada Jumaat, pada mulanya kejadian itu merupakan satu kejutan dan memalukan buat dirinya, tetapi kini dia melihatnya dari sisi lucu. "Saya terpaksa bergerak dengan pantas antara satu sama lain di pentas berpasir itu," katanya. "Bikini saya telah terangkat ketika saya berlari dan ketika saya tunduk ada seorang jurukamera di belakang saya yang dapat merakamkan segala-galanya. "Saya tak menyedarinya pada masa itu. Selepas keluar dari pentas barulah saya melihat posting di Facebook mengenai kejadian itu," katanya. Beberapa minit kemudian dia mula mendapat perhatian. "Ibu dan ayah sedang menonton di rumah dan ibu menghantar mesej kepada saya 'kamu tahu tak apa yang kamu dah buat?' "Mereka tak suka ia berlaku, tetapi sekarang mereka ketawa, baguslah. Saya mempunyai kawan dan keluarga yang sangat menyokong." Lear berkata dia kini boleh ketawa apabila mengimbas tentang pakaiannya yang 'buat hal'. "Saya terkejut pada mulanya, tetapi semua orang dah tengok, di luar sana, berbilion-bilion orang dah lihat, jadi anda hanya perlu ketawa, tak perlu bersembunyi, tak ada apa lagi yang boleh saya buat sekarang," katanya. Sejak itu, Lear mendapat ramai pengikut yang memberi sokongan kepadanya. "Punggung menjadi fokus pada majlis perasmian yang ditonton oleh 1.5 bilion orang! Senang tengok anda dapat menerimanya dengan hati terbuka dan menunjukkan sikap terbaik orang Australia!," tulis seorang pengguna Instagram. Lear berkata terdapat ratusan komen seperti itu yang diterimanya daripada orang asing di seluruh Australia. "Ia sangat menyenangkan untuk dibaca, saya sangat menghargainya. "Setiap orang ada punggung, tak apa, mungkin tidak di TV. "Saya melihatnya sebagai lucu sekarang." -ABCNews