SEORANG wanita Indonesia yang dijadikan hamba di United Kingdom mempunyai perasaan bercampur-aduk apabila berjaya dibawa pulang ke Indonesia. Parinah, 50, dari Banyumas, Jawa Tengah ini sedih pulang ke kampung halaman tanpa membawa wang walaupun bekerja di sana selama 18 tahun. Dia pulang dengan tangan kosong, selain pengalaman pahit yang diperolehi di negeri orang. "Perasaan saya gembira dan sedih. Gembira kerana mahu bertemu dengan keluarga dan anak-anak. Campur aduk sedih kerana tidak mempunyai wang," kata Parinah di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London dalam wawancara bersama Tempo, Selasa. -foto KBRI London Parinah berkata sebagai pembantu rumah dia mula bekerja jam 7.30 pagi setiap hari dengan melakukan kerja-kerja di dalam dan luar rumah. Setiap hari minggu, Parinah diminta membantu membersihkan rumah anak majikan selama kira-kira empat jam. Parinah meninggalkan Banyumas, Jawa Tengah, pada tahun 1999 untuk bekerja dengan keluarga seorang doktor di Arab Saudi. Pada tahun 2001, keluarga majikannya berpindah ke England dan membawa Parinah bersama secara haram. Semasa di England, Parinah dipaksa bekerja selama berjam-jam tetapi tidak pernah menerima sebarang bayaran. Dia juga dilarang menghubungi keluarga atau sesiapa sahaja yang tinggal di luar rumah majikannya selain hanya boleh meninggalkan rumah ditemani seorang anggota keluarga. Pada awal tahun ini, Parinah berjaya mengirim surat kepada keluarganya di Indonesia melalui pejabat pos tempatan. Anaknya yang tidak pernah mendengarnya khabar tentangnya sejak beberapa dekad, akhirnya dapat menghubungi Kementerian Luar Negeri di Jakarta yang kemudian menghubungi Kedutaan Indonesia di London. Bekerjasama dengan Polis British, Parinah akhirnya diselamatkan pada 5 April. Majikan, bersama isterinya dan dua anaknya, ditangkap oleh polis. Identiti mereka tidak didedahkan. Dengan bantuan Kedutaan Indonesia, Parinah meninggalkan London pada Selasa dengan penerbangan Garuda Indonesia ke Jakarta untuk bersatu dengan keluarganya. Pegawai-pegawai kedutaan berkata ada kemungkinan Parinah perlu kembali ke England memberi keterangan berhubung penculikannya. Tidak jelas apa yang pertuduhan yang akan dikenakan kepada keluarga itu. Setibanya di Indonesia, Parinah berkata dia sudah tidak mahu bekerja. Dia sangat berharap mendapat wang hasil kerja kerasnya selama 18 tahun. Wang itu akan diserahkan kepada keluarganya dan untuk menesruskan hidup. "Saya rasa majikan saya yang doktor itu tak pernah kekurangan wang. Nampak macam banyak wang,” kata Parinah memetik Tempo.