SINGAPURA: Gara-gara satu senyuman seorang lelaki di sebuah kantin, seorang pekerja asing cedera di muka selepas seorang lelaki menyerangnya menggunakan senjata. Ganesan Thennarasu, 35, pada Jumaat dipenjarakan tiga bulan selepas mengaku bersalah kerana mencederakan mangsa, Baskar Praveen, 26. Kedua-dua mereka merupakan warga India. Pergaduhan bermula apabila Baskar melihat Ganesan memberi senyuman padanya di sebuah kantin Tuas View Dormitory di Tuas South Avenue 1 pada kira-kira pukul 5.45 petang 1 September tahun lalu. Dia berasa terganggu dengan senyuman itu lalu berlaku pertelingkahan kecil antara mereka. Baskar kemudian beredar bersama seorang rakan, yang kemudian mendapati Ganesan mengekori mereka. Kedua-dua lelaki itu pergi ke pondok keselamatan berdekatan dan seorang pegawai memberikan mereka amaran dan meminta supaya meninggalkan premis tersebut. Ganesan kemudian mengeluarkan senjata dari poketnya dan melibas wajah mangsa beberapa kali. Dokumen mahkamah bagaimanapun tidak menyebut objek yang digunakan sebagai senjata ketika kejadian. Wajah Baskar berdarah akibat serangan itu dan dibawa rakannya kembali ke pondok keselamatan, sebelum pegawai bertugas menahan Ganesan dan menghubungi polis. Baskar mendapat rawatan di hospital dengan kesan luka di bawah kelopak mata, muka dan bibir. Individu yang didapati bersalah kerana mencederakan menggunakan senjata boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda, atau sebat. – The Straits Times/Asia News Network