DUA guru dari Louisiana, Amerika Syarikat dipecat kerana memperlekehkan seorang pelajar autisme. Menerusi sebuah rakaman video, guru terbabit yang mengajar di Hope Academy memperlekehkan dan mengeluarkan komen keterlaluan terhadap Camden Davis, 12. Ibu mangsa, Milissa Davis menyembunyikan alat perakam suara di dalam beg sekolah anaknya selepas mendapati dia menjadi agresif ketika di rumah, lapor WBRZ. Milissa kemudiannya terdengar suara seorang guru dan juga pembantunya memperlekehkan anak lelakinya itu. "Anda hanya perlu menulis perkataan. Apa yang susah mengenainya? Camden Davis. "Camden mengapa anda tidak menulis apa-apa? Itulah sebabnya anda tidak boleh duduk bersama dengan semua orang. Beritahu ibu kamu mengenainya," kata guru terbabit. Malah pembantu guru tersebut turut mempertikaikan tindakan ibu mangsa menghantar anaknya ke sekolah awam yang sepatutnya dikhususkan untuk kanak-kanak normal. Millissa ternyata terguris dengan kata-kata tersebut. "Saya seperti mahu menangis, menjerit dan sanggup melakukan apa sahaja untuk anak saya kerana ia amat menyakitkan. "Memikirkan saya telah menghantar anak lelaki saya ke sekolah itu setiap hari dan tidak mengetahui apa yang berlaku sebelum ini," katanya. Millissa turut mendapatkan khidmat peguam susulan insiden itu dan merancang untuk membuat aduan kepada Jabatan Pendidikan. Pengetua Hope Academy Linda Stone turut kecewa dengan insiden tersebut. "Insiden itu tidak sepatutnya berlaku dan kami mohon maaf kepada keluarga mangsa. Kami amat mengalu-alukan pertemuan dengan keluarga mangsa," katanya. - Dailymail