BANTAENG: Pasangan remaja bawah umur di daerah ini, Sulawesi Selatan terpaksa turun naik mahkamah semata-mata untuk memastikan hasrat mendirikan rumahtangga menjadi kenyataan. Semuanya kerana undang-undang di Indonesia menetapkan usia minimum untuk berkahwin bagi perempuan adalah 16 tahun, sementara lelaki 19 tahun. Pada Isnin, rancangan untuk menikahkan pasangan remaja berusia 14 dan 15 tahun telah dibatalkan. Media tempatan sebelum ini melaporkan, permohonan perkahwinan pasangan itu pada mulanya ditolak kerana usia mereka terlalu muda tetapi selepas membuat rayuan di Mahkamah Agama Bantaeng, permohonan mereka diluluskan. “Pernikahan mereka yang sepatutnya berlangsung hari ini (semalam) terpaksa dibatalkan. “Tapi jangan risau mereka tetap boleh berkahwin. "Mengikut peraturan, 10 hari selepas membuat permohonan kepada pejabat agama barulah mereka boleh bernikah. “Ini baru masuk hari kelima. Diminta bakal suami bersabar ya,” kata jurucakap Jabatan Agama Bantaeng, Mahdi Bakri. Namun, apa yang menarik perhatian adalah alasan remaja perempuan itu memberi alasan dia takut tidur seorang. Puncanya kerana sering ditinggalkan sendirian di rumah selepas ibunya meninggal dunia dan bapanya kerap ke luar daerah untuk urusan perniagaan. Malahan, remaja itu juga menegaskan bahawa dia bukan dipaksa kerana berbadan dua, tetapi keinginan mereka sendiri.- DetikNews