GURUGRAM: Ketagihan seorang wanita terhadap penggunaan laman media sosial Facebook dan WhatsApp akhirnya membawa padah apabila dia dibunuh suaminya. Mangsa yang berusia 32 tahun yang menetap di sini, di selatan New Delhi telah dicekik ketika sedang tidur di rumah mereka, kata polis. Kejadian berlaku Khamis lalu dan suspek berusia 35 tahun diberkas polis sehari kemudian. Semasa disoal siasat, suspek memberitahu polis dia bertindak demikian kerana berang sikap isterinya yang lebih gemar menghabiskan masa bersembang dengan rakan di media sosial sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada dua anak mereka. Sinar Harian memetik Times of India yang melaporkan suspek berkata, mereka sudah berkahwin sejak 2006 dan dikurniakan dua anak. Hubungan mereka sekeluarga amat baik pada tahun pertama sehingga mendorong suspek membelikan isterinya telefon pintar. “Dua tahun lalu, kelakuannya perlahan-lahan berubah disebabkan telefon pintar itu sehingga dia mula mengabaikan anak-anak dan saya, seperti kami tidak wujud. “Dia tidak masak, kerja rumah tidak dilakukan malah dia tidak mahu menghantar anak ke sekolah. "Apa yang dia tahu hanya menghabiskan masanya di Facebook dan WhatsApp," katanya. Malahan, wanita berkenaan juga disyaki menjalin hubungan dengan lelaki lain apabila melarang suaminya melihat akaun media sosialnya. “Saya syak dia ada hubungan sulit dan kami bergaduh besar pada malam Khamis. "Ketika dia sedang tidur, saya mencekiknya hingga mati,” jelasnya lagi kepada polis. - Times of India.