suria

Jurugambar sanggup terjuntai atas pokok demi rakam gambar pengantin

Vishnu (kiri) gemar memanjat tempat tinggi ketika merakamkan gambar perkahwinan.

SEORANG jurugambar dari India sanggup melakukan apa sahaja demi merakamkan detik bermakna buat pasangan yang baru melangsungkan perkahwinan.

Vishnu Whiteramp tular di Internet selepas teknik yang digunakannya bagi mendapatkan gambar sempurna dimuat naik ke laman sosial.

Rakaman tersebut menunjukkan Vishnu tergantung di sebatang pokok dengan keadaan kepalanya terjuntai ke bawah untuk mengambil gambar sepasang suami isteri, Shaiz dan Navya di Thrissur, Kerala.

Jurugambar berusia 23 tahun yang beroperasi di Kerala itu memberitahu portal berita tempatan, NDTV bahawa video tersebut dirakam kira-kira seminggu lalu.

Vishnu juga dilaporkan teruja dengan perhatian yang diraih selepas video itu tular.

Pemuda itu menghulurkan kameranya kepada pengantin lelaki sebelum memanjat pokok tersebut.

Video itu sudah ditonton lebih 394,000 kali dan netizen mula menggelarkan Vishnu sebagai jurugambar paling berdedikasi di dunia.

Seorang pengguna Twitter, Harami Parindey berkata: "Apabila anda mahu Spider-Man untuk membanteras jenayah, tapi dia akhirnya menjadi jurugambar perkahwinan disebabkan oleh tekanan daripada ibu bapa."

Walaupun klip itu tular, Vishnu bagaimanapun masih tidak berpuas hati dengan hasil bidikannya kerana mahu menghasilkan gambar yang lebih cantik daripada itu.

Ia juga bukan kali pertama buat Vishnu untuk memanjat tempat yang lebih tinggi bagi mendapatkan gambar sempurna.

Artikel Lain