LEBIH 8,000 ahli seni mempertahankan diri taekwondo mempamerkan aksi masing-masing di hadapan tapak Perhimpunan Nasional Korea Selatan. Acara yang mengumpulkan ahli daripada pelbagai latar belakang termasuk anggota tentera, polis dan orang awam dari seluruh negara itu bertujuan untuk sekali lagi mendapat pengiktirafan Rekod Dunia Guinness. Pelbagai pergerakan dilakukan bagi membuktikan keunikan seni mempertahankan diri itu. Barisan hakim Guinness mengiktiraf pergerakan yang dilakukan dengan langkah seiring sebagai rekod dunia. Ia akan diputuskan ibu pejabat badan berkenaan di England minggu depan. Pada masa sama lapan jet pejuang - Black Eagles turut menyerikan suasana apabila mempersembahkan aksi di udara dengan membentuk bulatan seperti lambang bendera Korea Selatan. Bertajuk "Taekwondo, ekspresi keamanan", acara itu juga meraikan seni mempertahankan diri itu sebagai sukan nasional negara berkenaan selepas perundangan mengenainya diluluskan pada Mac lalu.-SCMP