SEORANG calon wanita yang bertanding untuk satu jawatan tempatan di Taipei, Taiwan, baru-baru ini dijadikan 'bahan' di media sosial. Semuanya gara-gara gambar dalam poster kempennya tidak sama dengan wajahnya yang sebenar. Dunia politik bukanlah asing kepada perisian penyuntingan gambar, kerana ramai ahli politik menggunakan perisian seperti Photoshop untuk menjadikan penampilan mereka lebih baik dalam poster kempen. Bagaimanapun, kadang-kadang orang yang melakukan suntingan itu melakukannya secara 'berlebih-lebih'. Itulah yang berlaku kepada Wang Zhiya, seorang ahli politik yang bertanding untuk satu jawatan di Majlis Bandaraya Taipei, yang mana posternya sama sekali berbeza dengan wajahnya. Perbezaan antara Zhiya dan gambar poster kempennya mula menarik perhatian orang ramai apabila dia memuat naik beberapa gambar dirinya di sebelah poster kempen, di Facebook miliknya. Sesiapa sahaja dapat melihat bahawa wajah dalam poster itu tidak sama dengan muka Zhiya, jadi mereka mula bergurau mengenainya. "Oh, adakah dia membantu cucu perempuannya untuk berkhidmat?", seorang pengguna Facebook mengulas mengenai fotonya. "Yang mana satu calon," seorang lagi pengguna bergurau. Tidak lama kemudian, foto-foto itu tular dan akhirnya mendapat perhatian media, menyebabkan dia tiada pilihan sebaliknya memberi respons. Dia telah menjawab dengan agak baik mengenai isu itu walaupun menulis bahawa penampilannya adalah penting untuk kempen Majlis Bandaraya. Dia juga berjanji untuk pergi ke gim setelah kempen selesai, sehingga dia kelihatan sama dengan poster. "Realiti adalah kejam, Photoshop sentiasa cantik," tambah Zhiya. Kebanyakan gambar calon itu di sebelah poster politiknya yang tidak realistik telah dipadam dari halaman Facebooknya, tetapi bukan sebelum ia tersebar secara meluas. Walau bagaimanapun, poster itu sendiri tidak diganti kerana kos.