PRESIDEN Korea Selatan, Moon Jae-in, dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, memulakan rundingan bersejarah mereka pada awal Jumaat dengan berjabat tangan di sempadan kedua-dua negara yang dikawal ketat, lapor agensi berita Yonhap. Jae-in tiba terlebih dahulu di Kawasan Keselamatan Bersama Panmunjom yang terletak dalam Zon Penampan Tentera (DMZ). Sejurus kemudian, Jong-un muncul di kawasan Panmunjom yang terletak di sebelah Korea Utara. Kedua-dua pemimpin kemudian berjabat tangan namun masih berdiri dalam kawasan negara masing-masing di sempadan itu yang ditanda dengan garisan konkrit selebar satu kaki. Selepas itu, dalam satu tindakan yang mungkin mengejutkan ramai orang, Jong-un mempelawa Jae-in menyeberangi sempadan antara Korea untuk ke Korea Utara. Presiden Korea Selatan menerima pelawaan itu dengan senyuman lebar dan menyeberangi sebentar sempadan itu untuk bersama-sama Jong-un sebelum mereka kembali ke Korea Selatan. Dengan menyeberangi sempadan itu, Jong-un menjadi pemimpin Korea Utara pertama yang menjejakkan kaki ke bumi Korea Selatan sejak berakhirnya Perang Korea. Sidang kemuncak antara Korea itu, yang ketiga seumpamanya dalam sejarah, buat julung kalinya diadakan di Korea Selatan. Kedua-dua pemimpin kemudian bersama-sama memeriksa perbarisan kehormat tentera Korea Selatan, satu protokol diplomatik yang sering ditawarkan kepada pemimpin asing yang melakukan lawatan negara, kata pegawai pejabat presiden Jae-in, Cheong Wa Dae. Jong-un sekali lagi mengejutkan orang ramai yang menyaksikan acara bersejarah itu secara langsung di televisyen apabila memberikan cadangan spontan untuk bergambar secara berkumpulan dengan Jae-in dan delegasi masing-masing, termasuk pemimpin negara bergelar Korea Utara, Kim Yong-nam, serta lapan lagi pegawai Korea Utara. Jong-un turut menandatangani log pelawat di Rumah Perdamaian, venue sidang kemuncak ketiga antara Korea di sebelah Korea Selatan dalam DMZ yang dikawal ketat. Rundingan rasmi antara kedua-dua pemimpin itu bermula pukul 10:30 pagi waktu tempatan. - BERNAMA