KIRA-kira 7,000 penduduk sebuah kampung sanggup berbaris panjang untuk mendapatkan wang bernilai lebih dari 2 juta baht (RM250,000) yang diagihkan oleh sebuah keluarga kaya di selatan Thailand. Sunanta Leelertpan, Ketua Pegawai Eksekutif Twin Lotus, sebuah syarikat terkenal yang menghasilkan kosmetik herba, membawa keluarganya untuk memberikan wang kepada penduduk di daerah Pak Phanang, wilayah Nakhon Sri Thammarat. Datang bersama timbunan wang kertas 100 baht (RM12.45), keluarga itu berjanji untuk memberikan wang berjumlah 300 baht (RM37.36) kepada kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga emas yang tinggal di daerah itu, bersama makanan dan minuman, lapor One 31. Walaupun nilai itu nampak kecil, harus diingat bahawa kadar gaji minimum harian di Thailand juga adalah 300 baht (RM37.36), sekali gus menjelaskan mengapa kira-kira 7,000 orang, kebanyakannya warga tua, sanggup menyerbu khemah khas yang didirikan untuk menerima pemberian itu. Keluarga Leelertpan berkata mereka melakukan amalan ini setiap tahun sebagai sebahagian daripada khidmat masyarakat dan sebagai tanda mengucapkan terima kasih kepada komuniti tempat mereka membesar.