KAHERAH: Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi telah mengarahkan sempadan Rafah dengan Semenanjung Gaza dibuka sepanjang Ramadan. Sempadan dengan wilayah Palestin itu kebiasaannya hanya dibuka pada waktu yang ditetapkan, namun arahan baharu itu menjadikan ia paling lama dibuka sepanjang tahun ini. Pembukaan sempadan itu akan 'mengurangkan beban saudara seagama di Gaza' kata al-Sisi menerusi Twitter. Isnin lalu, lebih 60 rakyat Palestin terkorban ketika menyertai protes membantah pembukaan kedutaan baharu Amerika Syarikat di Baitulmaqdis. Kumpulan Hamas mengawal Gaza, tetapi tidak termasuk lintasan penting seperti Rafah dengan Mesir dan Erez dengan Israel. Ia menyerahkan kawalan sempadan berkenaan akhir tahun lalu kepada Pihak Berkuasa Palestin yang berpangkalan di Tebing Barat, dalam perjanjian kesepakatan yang ditandatangani di Kaherah. Mesir menutup sempadan untuk tempoh yang lama selepas serangan ke atas pasukan keselamatan Mesir di Semenanjung Sinai meningkat pada 2013.