suria

Puji rakan sekerja kacak, pembaca berita digantung tugas

SEORANG pembaca berita wanita digantung tugas oleh Kementerian Penerangan kerana memuji rakan setugasnya semasa siaran TV disiarkan secara langsung.

Basima al-Shammar, penyampai berita untuk Kuwait TV, sedang melaporkan tentang pemilihan perbandaran di Kuwait hujung minggu lalu, apabila dia berseloroh memuji seorang wartawan lelaki secara langsung.

Dalam sebuah video yang tular, Al-Shammar dapat didengar memberitahu rakan sekerja lelakinya, yang tidak sedar dia sudah bersiaran langsung dan masih membetulkan peralatan di telinganya, bahawa dia tidak perlu memperbaiki penampilannya kerana dirinya sudah cukup tampan.

Di dunia Barat, pujian ini adalah biasa tetapi di Kuwait, ia dilihat sebagai godaan daripada pihak perempuan.

"Nawaf, kamu tak perlu betulkan ghutra kamu, kamu dah kacak," demikian, ayat Al-Shammar yang membawa padah kepada pekerjaannya.

Ia adalah ungkapan biasa, tetapi ia telah tular di media sosial Arab dan mengecewakan ramai ahli politik Kuwait.

Sebahagian daripada mereka, seperti ahli Parlimen Mohammad Al Hayef, menghubungi Kementerian Penerangan, yang mengendalikan Kuwait TV, untuk mengambil tindakan terhadap penyampai itu sambil menambah percakapan seperti itu tidak boleh diterima.

"Apa yang berlaku bukan satu jenaka atau sesuatu yang lain," kata Al-Shammar kepada Al-Arabiya.

"Sudah jadi adat komunikasi di negara Teluk, apabila anda melihat seseorang memperbetulkan pakaiannya, anda akan kata 'dah elok atau dah kacak'.

"Itulah maksud saya, dia tak perlu betulkan apa-apa kerana penampilannya sudak baik dan kami sedang menunggu dia untuk melaporkan berita."

Walaupun telah mendengar penjelasannya, Kementerian Penerangan tetap menggantung tugasnya dan melancarkan siasatan untuk menentukan sama ada dia melakukan godaan.

Artikel Berikut

Artikel Lain