WANITA ini dikatakan boleh menghidu kematian yang akan berlaku kepada seseorang. Itulah dakwaan yang dibuat oleh Ari Kala, 24, yang menyatakan bahawa dia boleh memberitahu jika anda hampir menemui ajal dengan menghidu bau tertentu. 'Jurulatih psikik' itu mendakwa menyedari tentang kebolehannya apabila terhidu bau pelik pada bapa saudaranya sebelum lelaki itu meninggal dunia, ketika berusia 12 tahun. "Sebelum saya memulakan sekolah menengah, saya melawat pakcik saya sebelum dia meninggal dunia," katanya. "Malam sebelum kematiannya saya terhidu bau yang aneh di dalam rumah," katanya. Kala, dari Hunter Valley di New South Wales, Australia, menambah: "Saya fikir ia adalah bau mayatnya kerana saya tidak pernah menghidu bau seperti itu sebelum ini. Tetapi orang lain tidak dapat menghidunya. "Saya kemudian sedar ia adalah petanda kematian yang saya dapat hidu. "Sejak itu, saya telah mengalami perkara yang sama di sekeliling orang yang mengalami sakit kritikal atau orang yang sudah terlalu tua...terlalu banyak kali untuk dikira." Kala berkata dia hanya mengabaikan kebolehan luar biasanya ini selama bertahun-tahun. Pada masa ini dia akan menumpukan perhatian kepada kejurulatihan psikik, bukannya menawarkan khidmat kepada orang ramai untuk memberitahu bila mereka akan mati. Kala menambah: "Kadang-kadang ia seperti satu beban. Saya selalu ingin memberitahu sesuatu, tetapi saya sedar ia bukan tugas saya. Saya tak banyak berusaha untuk membangunkannya. "Ini seperti sia-sia, bagaimana ia dapat membantu orang lain? Bagaimana saya dapat mendekati seseorang yang tidak dikenali yang mempunyai bau ini dan membantu mereka?." -MetroUK