PENDAKWAH kemakmuran popular, Jesse Duplantis, mahu menggunakan jet peribadi Dassault Falcon 7X baharu berharga AS$54 juta, tetapi mahu ia dibayar oleh pengikutnya. Duplantis, yang bertugas di kementerian dan gereja di Destrehan, Louisiana, luar New Orleans, sudah memiliki tiga jet peribadi. Kesemuanya telah dibayar secara tunai dengan wang sumbangan pengikut setianya. Kini dia sekali lagi mahu mereka menderma untuknya supaya dia dapat membeli jet peribadi tiga enjin itu yang akan membolehkannya terbang ke mana saja di dunia dalam satu hentian, meningkatkan jangkauan globalnya dan mengurangkan kos bahan bakar kerana dia memiliki kawasan bahan bakar sendiri. "Untuk Falcon 7X, saya mahu anda percayakan saya," kata pendakwah kesejahteraan berusia 68 tahun itu dalam video rayuan kepada pengikutnya. "Sekarang, sesetengah orang percaya bahawa pendakwah tidak boleh mempunyai jet. Saya benar-benar percaya bahawa para pendakwah sepatutnya pergi ke segenap pelosok dunia untuk menyampaikan dakwahnya." Dia kemudian memberitahu para penonton bagaimana dia berjaya membeli tiga buah jet peribadi sebelum ini dengan sumbangan daripada pengikutnya dan menjelaskan bagaimana dia dapat menggunakan jet semasa yang dibeli pada tahun 2006. Katanya jet berharga AS$54 juta itu sebenarnya membantu kementeriannya menyebarkan ajaran dengan lebih cekap, apabila dapat pergi ke tempat-tempat yang lebih jauh dengan kos bahan api yang lebih murah. Dalam video itu, Duplantis mendakwa bahawa Tuhan memberitahunya 'Saya ingin kamu mempercayai saya untuk Falcon 7x' dan apabila dia bertanya bagaimana dia akan membayarnya, pendakwah itu berkata dia teringat apa yang Tuhan katakan kepadanya pada tahun 1978 - "Jesse, saya tidak minta kamu membayarnya, saya minta kamu untuk percaya dengannya." Jadi dia kini meminta pengikut-pengikutnya untuk berdoa dan menjadi sebahagian daripadanya yang pada dasarnya bermakna mendermakan wang kepada kementeriannya. "Jadi berdoalah agar dapat menjadi rakan kongsi, jika anda inginkannya," katanya. "Dan jika anda tak mahu, anda tak perlu, tetapi saya berharap anda dapat melakukannya kerana semua yang akan dilakukan dapat mengubah kehidupan." Usaha pengumpulan dana luar biasa oleh Duplantis ini telah mendapat banyak kritikan daripada penganut Kristian konservatif, yang kebanyakannya berhujah bahawa sumbangan puluhan juta dolar boleh memberi lebih banyak manfaat berbanding sebuah jet peribadi baharu. Ada yang bertanya mengapa Duplantis dan pendakwah lain memerlukan jet peribadi kerana mereka boleh menggunakan penerbangan komersial.