MADRID: Sebuah pesawat Transavia yang dalam perjalanan menuju ke pulau peranginan Gran Canaria terpaksa melakukan pendaratan cemas, gara-gara salah seorang penumpangnya mengeluarkan bau badan yang terlampau busuk. Situasi kurang menyenangkan itu menyebabkan penumpang lain yang duduk berhampiran lelaki tersebut mengalami muntah yang teruk dan pitam. Difahamkan, beberapa penumpang turut mengalami muntah sebaik pesawat Boeing 737 itu berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol di Belanda. Kakitangan Transavia dilaporkan terpaksa mengasingkan lelaki tersebut di dalam tandas pesawat sebelum pesawat melakukan pendaratan cemas di Faro di selatan Portugal. Sebaik mendarat, lelaki tersebut dikeluarkan dari pesawat sambil diiringi pegawai perubatan. Sementara itu, seorang penumpang warga Belgium, Piet van Haut berkata dia dan penumpang lain bagaikan berada di neraka sepanjang penerbangan. "Dia seperti tidak mandi selama beberapa minggu, sehingga membuatkan penumpang lain muntah dan pengsan," katanya. Dalam pada itu, Transavia mengesahkan pendaratan kecemasan tersebut dan mengatakan ia disebabkan oleh "faktor perubatan". Jurucakap Transavia berkata: "Pesawat itu dilencongkan kerana sebab-sebab perubatan, tetapi memang betul dia berbau sedikit."