MEXICO CITY: Pasukan tentera bertungkus lumus membantu anggota bomba dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa letusan gunung berapi di Guatemala sejak Ahad. Letusan itu bukan sahaja menghasilkan lahar panas, malahan debu, batu dan lumpur. Angka kematian akibat letusan gunung berapi di Guatemala meningkat kepada 69 orang, menurut pihak berkuasa negara Amerika Tengah itu. Daripada jumlah itu, hanya sebilangan kecil mayat telah dikenal pasti setakat ini, kata jurucakap Institut Sains Forensik Kebangsaan Guatemala, Mirna Zeledon. Letusan gunung berapi Fuego, yang membawa maksud 'api' dalam Bahasa Sepanyol, mengeluarkan asap hitam ke udara dan memuntahkan lahar panas sepanjang 8km, pada Ahad. Ia dianggap yang paling dahsyat berlaku dalam masa lebih empat dekad, memaksa penutupan lapangan terbang antarabangsa utama Guatemala dan menjejaskan ribuan hektar ladang kopi di lereng gunung berapi itu. Gunung berapi aktif itu terletak kira-kira 40 kilometer di barat daya Guatemala City. Kejadian itu menyaksikan mayat mangsa yang rentung terbaring bertaburan, dianggap paling ganas berlaku dalam masa lebih empat dekad. "Ia seperti sungai lahar yang melimpahi tebingnya dan menjejaskan kampung El Rodeo. "Terdapat penduduk yang cedera, terbakar dan maut," kata ketua setiausaha agensi pengurusan bencana negara (CONRED), Sergio Cabanas, dipetik berkata stesen radio tempatan.