suria

Bourdain ditemui maut selepas tak muncul untuk makan malam, sarapan

CHEF selebriti, Anthony Bourdain dikenali sebagai seorang yang begitu menjaga pemakanannya termasuk makan pada masa yang tepat.

Bagaimanapun, sehari sebelum dan pada hari kematiannya yang mengejutkan ramai pihak itu, rakan baiknya yang juga chef, Eric Ripert pelik apabila Bourdain tidak muncul di meja makan.

Pada Khamis malam, chef berusia 61 tahun itu tidak turun makan malam, manakala pada Jumaat pagi pula Ripert keseorangan menjamah sarapan.

"Rakannya menunggunya ketika sarapan, seperti mana semasa makan malam. Dia terus tunggu dan tunggu," demikian kata pelayan di kafe tempat mereka menginap di sebuah pekan di Kayserberg, utara Perancis.

Bourdain bersama kru CNN menjalani penggambaran untuk episod program makanan Alsatian, Parts Unknown dan menginap di hotel lima bintang, Le Chambard.

Turut sama menunggu Bourdain adalah kru penggambaran yang dijadualkan merakam adegan di pasar berdekatan Strasbourg yang bermula 10 pagi.

Bagaimanapun, beberapa kali panggilan yang dibuat tidak dijawab Bourdain. Ketika itu jam menunjukkan pukul 9.30 pagi.

Selepas lama menunggu, akhirnya Ripert naik ke bilik rakannya itu di bantu pihak hotel yang membuka pintu biliknya.

Ketika itu Ripert berdepan situasi yang sukar digambarkannya apabila menemui Bourdain tergantung di bilik air.

Bourdain pernah mempunyai masalah ketagihan kokain serta heroin telah dua kali gagal dalam melayari bahtera perkahwinan.

Sementara itu, pendakwa, Christian De Rocquigny du Fayel mengesahkan kematian Bourdain dan berkata, pihak berkuasa menyiasat kejadian itu.

“Namun pada peringkat ini, kami tidak melihat pembabitan orang ketiga. Doktor yang memeriksanya di tempat kejadian juga mengesahkan kematiannya akibat digantung,” katanya.

Personaliti terkenal termasuk rakan cef, Gordon Ramsay dan mantan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama antara yang menyuarakan kesedihan mereka dengan berita kematian itu.

Malah, Presiden AS Donald Trump juga sempat memberitahu pemberita bahawa kematian Bourdain ‘terlalu menyedihkan’ ketika meninggalkan Rumah Putih untuk menghadiri persidangan G-7.

Dalam satu temu bual dengan People, Februari lalu, Bourdain secara tidak langsung membayangkan pernah terfikir mahu menamatkan segala-galanya.

“Ada masa saya pernah terfikir, saya sudah puas menjalani kehidupan, apa kata jika saya habiskannya saja dengan terjun dari cenuram ke dalam lautan yang dalam.

“Namun selepas kelahiran anak perempuan, Ariana, pada 2007 saya rasa lebih bertanggungjawab untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Dalam temu bual itu juga dia mengaku mungkin mati ketika bekerja kerana tidak dapat membayangkan akan bersara.

Bourdain juga antara selebriti lelaki yang menjadi penyokong lantang pergerakan antigangguan seksual, #MeToo, malah Asia antara wanita yang tampil menuduh penerbit Hollywood terbabit pernah menyerangnya.-PageSix

Bourdain, CNN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Duduk, diam, tunduk!

Artikel Lain