PIHAK berkuasa bencana Jepun berkata, sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 41 yang lainnya cedera akibat gempa bumi yang berlaku di barat Jepun. Gempa bumi dengan kekuatan magnitud 6.1 melanda bandar Osaka dan kawasan sekitarnya pada Isnin pagi. Media Jepun melaporkan salah seorang daripada mangsa gempa bumi itu adalah seorang gadis berusia sembilan tahun yang ditemui di sebuah sekolah di Bandar Takatsuki. Penyiar televisyen kebangsaan NHK melaporkan, dinding berhampiran kolam renang sekolah jatuh menghempap gadis malang itu. Sementara itu, polis di Osaka berkata, seorang lelaki berusia 80-an di bandar Ibaraki City disahkan mati selepas rak buku jatuh ke arahnya ketika kejadian yang berlaku di rumahnya itu. Seorang lagi lelaki berusia 80 tahun di Osaka turut meninggal dunia selepas dinding jatuh ke atasnya. Menteri Pengurusan Bencana Hachiro Okonogi mengatakan terdapat laporan orang ramai terperangkap di bawah bangunan yang runtuh. Agensi Meteorologi Jepun berkata gempa dengan magnitud awal 5.9 melanda Isnin sekitar pukul 8 pagi. Agensi tersebut mengemas kini magnitud gempa bumi menjadi semakin kuat kepada skala 6.1. Bagaimanapun, gempa bumi tersebut tidak mendatangkan risiko tsunami. Dalam perkembangan berkaitan, perkhidmatan kereta api termasuk kereta api bawah tanah yang menghubungkan Osaka ke Tokyo dihentikan sementara bagi memeriksa kerosakan yang berlaku. - Stuff NZ