SIMALUNGUN: Selepas tiga hari, kejadian sebuah feri karam di Danau Toba hingga mengakibatkan lebih 190 penumpang hilang masih menjadi misteri. Malahan, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) masih belum dapat mengesahkan bilangan sebenar penumpang dan kru feri berkenaan. KM Sinar Bangun yang karam di Danau Toba, Pulau Sumatera sekitar pukul 5.30 petang (waktu tempatan), Isnin lalu ketika angin kencang dan tasik bergelora. Laporan Liputan6.com menyebut, siasatan awal polis mendapati kapten feri itu tidak berada di kapal yang diperbuat daripada kayu itu. Malahan, kapten KM Sinar Bangun itu juga tidak didaftarkan sebagai antara penumpang atau kru kejadian itu, sama ada terkorban atau selamat. "Aneh, dalam senarai mangsa korban atau selamat, nama kapten feri tidak tersenarai," kata jurucakap polis Simalungun, Marudut Liberty. Setakat Rabu, empat mayat ditemui dan 18 orang telah diselamatkan, demikian menurut badan berkenaan. Sementara itu, pasukan penyelam dan dron selam menyertai pencarian di Danau Toba, manakala waris yang sedih berkumpul di pelabuhan kecil Tigaras untuk menanti sebarang berita. Pasukan penyelamat menjangkakan dapat menemui lebih ramai mangsa yang terperangkap di dalam feri tersebut sebaik sahaja mereka mengesan lokasi ia karam di dalam tasik Danau Toba sedalam 450 meter. “Kami mempunyai koordinat di mana feri ini karam tetapi kami perlu mengesahkannya,” kata ketua Basarnas di Medan, Budiawan. Sebuah pasukan terdiri daripada 25 penyelam termasuk anggota marin bertungkus lumus mencari feri itu dengan dibantu kenderaan bawah air kawalan jauh (ROV). “Bagaimanapun, dron ROV ini boleh beroperasi pada kedalaman 380 meter sahaja, manakala pencarian di permukaan tasik tidak berhasil,” jelas Budiawan. Mempunyai keluasan 1,145 kilometer persegi, Danau Toba mengisi kawah sebuah gunung berapi gergasi yang meletus 75,000 tahun lalu dalam letusan yang disifatkan antara paling kuat di dunia. Tasik itu merupakan destinasi pelancongan popular, namun setakat ini, belum ada maklumat sama ada rakyat asing turut menjadi mangsa tragedi berkenaan.– Reuters