MUNGKIN menjadi 'mimpi ngeri' segelintir wanita dilamar di hadapan khalayak, tetapi wanita ini nampaknya begitu gembira apabila berdepan dengan perkara itu semasa menyaksikan perlawanan Piala Dunia secara langsung. Rakaman video yang diperoleh oleh tt-creative.com itu menunjukkan detik seorang lelaki melamar teman wanitanya semasa perlawanan antara Poland dan Senegal di Rusia pada Selasa lalu. Semasa perlawanan masih berlangsung, lelaki tersebut secara tiba-tiba duduk melutut di hadapan wanita berkenaan. Pasangan itu mendapat perhatian ramai selepas semua berpaling kepada mereka bagi menantikan jawapan balas wanita berkenaan. Para penyokong di stadium menjerit melaungkan "Ya, ya, ya!" kepada wanita itu yang diajukan sebentuk cincin daripada teman lelakinya. Wanita yang benar-benar terkejut dengan lamaran itu kemudiannya mengangkat kedua tangannya sebagai tanda setuju. Dia kemudian berkata 'Ya' sebelum penonton berhampiran mencetuskan keriuhan bagi detik manis itu. - Mirror UK