suria

Beg Ikea penyelamat pengantin nak 'lepas hajat'

WALAUPUN gaun pengantin dianggap sebagai antara pakaian termahal untuk dibeli, tetapi ia kebanyakannya kurang praktikal.

Selain biasanya berwarna cerah yang mudah menampakkan kekotoran, ia juga berat, sarat dengan hiasan dan labuh, menyebabkan anda susah bergerak.

Paling menimbulkan masalah apabila anda perlu berfikir 10 kali jika mahu ke tandas.

Malah anda mungkin memerlukan bantuan beberapa rakan supaya anda dapat 'lepas hajat' di tandas sebelum majlis perkahwinan bermula.

Tetapi semua itu bukan lagi masalah, terima kasih kepada idea genius seorang pengantin perempuan di North Yorkshire, England.

Apa yang anda perlukan adalah satu beg plastik biru Ikea.

Apabila perlu ke tandas pada hari perkahwinannya, pengantin perempuan yang bijak itu tidak perlu menyusahkan orang lain untuk membantunya membuka gaunnya yang sarat itu.

Dia hanya menggunakan beg serba guna Ikea yang berharga lebih kurang RM5.

Biasanya, beg ini berguna untuk meletakkan barang yang banyak dan juga dijadikan beg untuk ke dobi.

Dan, untuk mengurangkan tekanan di hari perkahwinannya, pengantin perempuan yang tidak didedahkan identitinya itu bertindak masuk ke tandas bersama pakaiannya.

Tetapi dia telah menyumbat gaunnya itu ke dalam beg tersebut yang dipotong untuk membolehkannya bergerak dan berjalan. Bagi membolehkan dia menggunakan tisu tandas, dia menyangkut tali beg itu pada bahunya.

Dengan cara itu, gaunnya 'selamat' daripada terkena sebarang kotoran.

Selepas gambar itu dikongsi di Facebook oleh DJ perkahwinannya, DJsweeby, kegunaan baharu beg Ikea ini segera tular.

Jadi, jika anda akan berkahwin tidak lama lagi, beg Ikea mungkin menjadi sebahagian daripada persiapan majlis. -MirrorUK

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain