suria

Tekong feri ditahan, lebih muatan punca tragedi Danau Toba

SIMALUNGUN: Tekong feri karam di Danau Toba, Indonesia yang dipercayai membawa penumpang melebihi kapasiti dibenarkan kini ditahan polis untuk siasatan berhubung tragedi berkenaan, kata pihak berkuasa pada Khamis.

Tua Sagala, tekong yang juga pemilik feri tersebut merupakan antara 18 mangsa yang berjaya diselamatkan selepas feri malang itu karam di destinasi pelancongan popular, Danau Toba Isnin lalu akibat cuaca buruk.

“Tekong feri itu kini ditahan polis namun masih belum disoal siasat kerana berada dalam keadaan trauma," kata jurucakap polis negara, Yusri Yunus.

Setakat ini, pihak berkuasa mengesahkan tiga kematian manakala sekurang-kurangnya 193 yang lain masih hilang, ia dianggap antara tragedi feri karam paling buruk pernah berlaku di negara itu.

Jumlah sebenar penumpang sukar dipastikan berikutan ketiadaan rekod lengkap dan feri kayu tersebut dipercayai beroperasi secara haram serta membawa lima kali ganda jumlah penumpang yang dibenarkan.

Misi menyelamat kini bertukar kepada misi mencari mayat termasuk mangsa yang dipercayai masih terperangkap dalam feri karam itu.

400 anggota penyelamat, juruselam dan kelengkapan menyelamat dikerah bagi menjalankan operasi di tasik yang merupakan antara paling dalam di dunia itu, kawasan pencarian juga diluaskan bagi mengesan lebih banyak mangsa secepat mungkin.

Danau Toba

Artikel Lain