PERTUBUHAN Kesihatan Dunia (WHO) menyenaraikan tabiat melampau dalam permainan video sebagai masalah kesihatan mental yang diklasifikasi antara penyakit antarabangsa. Malahan pertubuhan itu juga menganggap ketagihan terhadap permainan video adalah situasi kesihatan yang serius dan memerlukan pemantauan rapi. "Permainan video yang keterlaluan telah disenaraikan sebagai masalah ketagihan," demikian menurut WHO. Klasifikasi ini bermakna, pakar kesihatan akan lebih peka dengan situasi ini supaya golongan terbabit akan mendapat bantuan sebaik mungkin, demikian kata Vladimir Poznyak, ahli Jabatan Kesihatan Mental dan Penyalahgunaan Bahan WHO kepada CNN. "Ia situasi klinikal dan ia hanya boleh disahkan pakar terlatih," katanya. Penghasilan ICD-11 dijangka mampu merekod data berkaitan keselamatan dalam penjagaan kesihatan termasuk situasi di tempat kerja dapat dikenal pasti dan dikurangkan. ICD-11 akan diperkenalkan di Perhimpunan Kesihatan Sedunia pada Mei 2019. "ICS adalah fasa baharu untuk mengumpul maklumat kesihatan kerana ia mampu memberi maklumat terkini berkaitan penyakit," kata Lubna Alansari, Penolong Pengarah Kesihatan (Metrik dan Ukuran Kesihatan) WHO. ICD juga dilihat sebagai alat untuk mengesan trend dan statistik kesihatan di seluruh dunia di mana ia dilengkapkan dengan kira-kira 55,000 kod unik untuk kecederaan, penyakit dan punca kematian. Ia turut menyediakan bahasa sejagat yang membolehkan pakar kesihatan berkongsi maklumat di seluruh dunia.-IndiaToday