BAPA kepada pereka fesyen Kate Spade meninggal dunia di kediamannya pada petang Rabu, sehari sebelum mayat anaknya itu dikebumikan. Dalam satu kenyataan, keluarga Spade mengesahkan Earl F.Brosnahan meninggal dunia kerana terlalu bersedih atas kematian anak perempuannya itu. Brosnahan ditemani kesemua ahli keluarganya semasa menghembuskan nafas terakhirnya. Lahir dan dibesarkan di Missouri, Brosnahan merupakan veteran tentera Amerika Syarikat (AS). Dia kemudiannya mengambil alih perniagaan keluarga pada 1960 dan berkahwin dengan Theresa pada 1953. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan enam cahaya mata. Kate yang dikenali dengan rekaan beg tangannya meninggal dunia akibat membunuh diri pada 5 Jun lalu. Mayatnya ditemui di pangsapurinya di Park Avenue oleh pembantu rumahnya. Majlis pengebumiannya diadakan pada Khamis di Kansas.