RATCHABURI: Kemerosotan harga nanas mendorong dua petani tempatan menangani masalah yang dialami dengan menyumbang kepada pusat pemeliharaan haiwan. Sornkhiri Buajaeng dan isterinya, Sunaree Meemak meletakkan bebeberapa tan hasil tuaian mereka dalam trak dari ladang mereka di daerah Ban Kha ke Pusat Pemakanan Hidupan Liar Khao Prathab Chang di Chom Bung. Mereka berhasrat menyumbang hasil tanaman nanas itu kepada pusat berkenaan kerana tidak mahu ia rosak selepas berhadapan masalah pasaran merudum. Keputusan mereka itu membuktikan kegelisahan petani disebabkan harga pasaran yang jatuh mendadak. "Pasaran nanas tahun ini teruk sekali kerana harganya terlalu rendah," kata Sunaree. Harga sekilogram nanas merudum 50 peratus tahun ini kepada 3.14 baht daripada 6.29 baht. Jumlah itu berbeza dengan kadar 12.28 baht sekilogram kira-kira setahun lalu. Kementerian Pertanian menganggap lambakan bekalan nanas adalah antara punca harganya hasil tanaman itu jatuh teruk. Tahun lalu, Thailand menghasilkan 2.5 juta tan nanas. Setakat ini, pasaran nanas yang berdepan masalah ini memberi kesan kepada 40,000 petani di 46 wilayah negara itu. Selain mengagihkan hasil tanaman nanas sebagai sumber makanan haiwan, petani terlibat juga menyumbang kepada pasukan keselamatan di beberapa kem tentera.