SEORANG pemandu GrabCar dilaporkan campur tangan dalam satu situasi berbahaya yang mana seorang gadis berisiko menjadi mangsa rogol. Dalam satu siri tweet, pengguna Twitter @PBK_twt menulis tentang pengalaman bapanya semasa memandu GrabCar beberapa minggu lalu. "Bapa saya menyelamatkan seorang gadis (mungkin bawah umur) daripada diperkosa," katanya. Dia berkata, selepas dia mengambil dua lelaki muda dan seorang gadis mabuk teruk di Clarke Quay, Singapura, budak lelaki itu memintanya menukar lokasi penghantaran, iaitu rumah gadis itu (lokasi asal) ke Hotel 81. Hotel itu dikenali sebagai tempat untuk melampiaskan hawa nafsu. "Cukup jelas budak-budak lelaki itu berniat untuk mengambil kesempatan," katanya di Twitter. Bapanya, yang prihatin terhadap keselamatan penumpangnya enggan membawa ketiga-tiga penumpangnya ke hotel seperti diminta, sebaliknya terus memandu ke rumah gadis itu. "Dia menyuruh dua budak lelaki tunggu dan menemani gadis berkenaan naik ke flat tempat tinggalnya. "Dia memastikan bahawa gadis itu betul-betul masuk ke dalam rumah sebelum kembali ke keretanya," jelasnya. Kisah itu telah diulang kicau ribuan kali, memberi inspirasi kepada masyarakat untuk membantu insan lain yang memerlukan bantuan dalam keadaan tertentu. "Matlamat saya dalam kehidupan, menjadi seperti lelaki ini," jawab seorang pengguna Twitter. Ada juga yang mengucapkan terima kasih kepada pemandu itu. Kisah ini muncul kurang dari seminggu selepas satu lagi kisah pemandu Grab tular. Hujung minggu lalu, seorang pengguna Facebook menceritakan bagaimana pemandunya menunggu lif bersama dengannya selepas menghantarnya pada pukul 2 pagi. Kisah itu juga banyak dikongsi. Kali ini, anak perempuan kepada pemandu GrabCar pula yang menyatakan rasa bangga terhadap bapanya yang dianggap wira. -coconuts