DENPASAR: Gunung berapi aktif di Bali kembali meletus, memuntahkan lahar dan debu beberapa kilometer ke udara. Menurut agensi mitigasi bencana kebangsaan Indonesia, penduduk mendengar letupan kuat dan melihat batu berapi tercampak keluar sejauh kira-kira dua kilometer dari kawah Gunung Agung. Letusan yang berlanjutan selama tujuh minit itu memaksa penduduk meninggalkan kediaman mereka. Gambar yang disiarkan agensi menunjukkan lahar mengalir dari kawah menyebabkan hutan di sekitarnya terbakar. “Penduduk telah mula berpindah secara sukarela,” kata jurucakap agensi, Sutopo Nughoro. Tambahnya, lapangan terbang kekal beroperasi dan tiada sebarang perubahan pada status amaran gunung itu. Gunung Agung yang terletak di timur laut Bali semakin aktif sejak tahun lalu dan pada Jumaat lalu, lapangan terbang antarabangsa Ngurah Rai ditutup sementara serta mengganggu lebih 300 penerbangan dan menyebabkan ribuan pelancong terkandas. BACA: AirAsia batal penerbangan keluar dan masuk ke Bali Kali terakhir letusan kuat Gunung Agung berlaku adalah pada 1963, apabila lebih 1,000 orang maut dan beberapa kampung di cerun gunung musnah.