SEORANG remaja lelaki warganegara Pakistan lemas ketika tergelincir ke dalam sungai dan dihanyutkan arus deras. Sheraz Khan, 19, pergi berkelah di Sungai Swat bersama sepupu, Yaseen Khan dan bapa saudaranya, Khan Muhammad. Pelajar jurusan kejuruteraan elektrik dari Karachi itu yang takut dengan sungai, berjalan di atas batu di tepi sungai tersebut. Video menunjukkan dia pergi dekat dengan sungai sebelum jatuh tergelincir. Insiden itu berjaya dirakam menerusi telefon bimbit Yaseen. "Semasa perkelahan itu, dia menghalang saya untuk pergi dekat dengan sungai. Sheraz Khan. "Dia amat takut dengan sungai. Saya sering mengatakannya supaya jangan takut dan jadi lelaki sebenar. "Ketika kami mahu pulang, Sheraz meminta saya untuk merakam video ketika dia pergi menghampiri sungai untuk membuktikan kepada saya dia tidak takut. "Saya tidak terfikir perkara ini akan berlaku. Saya menyumpah seranah diri saya kerana tidak menghalangnya," kata Yaseen. Insiden mengejutkan itu berlaku petang Khamis minggu lalu. Menurut Khan, kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang ketika mereka mahu meninggalkan kawasan perkelahan itu. "Saya pergi ke hotel untuk daftar keluar manakala Sheraz dan Yaseen pergi ke sungai untuk mengambil gambar. "Ketika saya dalam perjalanan ke hotel, saya terdengar Yaseen menjerit 'Ya Allah' beberapa kali. "Saya bergegas ke sana dan melihat Sheraz sudah dihanyutkan arus deras," katanya. Mayat Sheraz berjaya ditemui keesokan paginya dekat Manghora, kira-kira 30 batu dari kawasan kejadian.