BANGKOK: Doktor warga Australia yang memainkan peranan penting dalam operasi menyelamatkan 12 remaja dan jurulatih bola sepak Thailand yang terperangkap di dalam gua, dikejutkan dengan berita kematian bapanya. Dr Richard Harris, pegawai perubatan terkenal dan juga penyelam dilaporkan orang terakhir meninggalkan gua berkenaan lewat malam Selasa. Menurut Ketua perkhidmatan klinikal di SAAS MedSTAR Andrew Pearce, bapa Harris meninggal dunia pada Selasa sebaik sahaja mangsa terakhir dikeluarkan dari gua tersebut. "Sekarang tempoh berkabung buat keluarga Harris selepas dia terlibat dalam operasi menyelamat penuh mencabar," katanya. Pearce berkata penyelam berpengalaman itu akan kembali ke Adelaide tidak lama lagi. Pearce tidak memberitahu lebih lanjut punca kematian bapanya dan meminta agar privasi keluarga itu dihormati. Harris yang juga dikenali sebagai 'Harry' dalam kalangan peneroka gua global membatalkan cuti yang dirancang dan bergegas ke utara Thailand untuk membantu operasi menyelamat itu. Kehadirannya adalah atas permintaan pakar. Media Australia melaporkan, beliau meletakkan nyawanya dalam bahaya untuk mengharungi gua dipenuhi air sepanjang empat kilometer untuk memberikan bantuan perubatan kepada kumpulan berkenaan. Laporan Perbadanan Penyiaran Britain (ABC) menyatakan, Harry yang menentukan dalam keadaan apa mereka dibenarkan keluar, dalam operasi yang menggembirakan pada Selasa apabila semuanya berjaya diselamatkan, 18 hari selepas terperangkap. Namun ketika usaha menyelamat berakhir dengan kegembiraan, pakar bius dari Adelaide itu menerima berita sedih mengenai kematian bapanya. “Dengan amat sedih, saya mengesahkan bapa Harry meninggal dunia tidak lama selepas kejayaan operasi menyelamat di Thailand," katanya.